
TANJUNG MANIS: Kejayaan pentadbiran kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini diibaratkan seperti kekuatan pasukan bola sepak Kuching City FC yang digeruni di pentas bola sepak negara hasil daripada strategi mantap, disiplin tinggi dan kesungguhan berterusan.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, pencapaian GPS adalah hasil daripada kerjasama erat dan semangat berpasukan yang kukuh, bukan sumbangan individu semata-mata.
“Pencapaian ini tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya melalui proses panjang yang penuh cabaran dan usaha konsisten.
“Sama seperti bola sepak, pentadbiran negeri yang diterajui Premier Sarawak sebagai ‘ketua jurulatih’ memerlukan masa, usaha berterusan, komitmen dan disiplin untuk mencapai kejayaan.
“Kejayaan yang kita dengar di TV, radio atau baca di akhbar tidak berlaku dalam sehari dua.
“Ia memerlukan proses panjang, sedikit demi sedikit, dengan disiplin dan strategi mantap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan taklimat dan penerangan inisiatif dan PCDS 2030 kerajaan Sarawak sempena Program Jangkauan Setiausaha Politik bertempat di Dewan IKS, petang semalam.
Hadir untuk merasmikan majlis penangguhan tersebut ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Mengulas lanjut, Fazzrudin menjelaskan bahawa kejayaan sesebuah pasukan bukan hanya bergantung kepada keupayaan jurulatih atau pemimpin, tetapi turut memerlukan tenaga pakar, strategi jelas serta sokongan barisan pemain yang berkualiti.
“Pemain berkualiti memerlukan latihan berterusan, disiplin tinggi dan kepakaran dalam bidang masing-masing bagi memastikan prestasi sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Dalam konteks Sarawak hari ini, kita mempunyai barisan pemimpin berkaliber yang melaksanakan pelbagai agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Oleh Earl Anek