Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • KEINDAHAN PEMIKIRAN
  • WBS

KEINDAHAN PEMIKIRAN

Utusan Sarawak 7 months ago

Oleh: Mohidin Hj. Malek

APABILA berbicara tentang sajak, tidak kira sama ada yang berbentuk balada, gita puja, ode, epigram, romansa, elegi atau satira, tidak dapat tidak, aspek keindahan acap kali diberikan perhatian utama.  Keindahan yang ditekankan merangkumi sudut pembinaan puisi, iaitu tipografi puisi, diksi atau pemilihan kata-kata, imej atau citra, kata konkrit, bahasa figuratif, verifikasi yang melibatkan rima, ritma dan metrum serta irama.  Di samping aspek yang sedemikian itu, keindahan yang diutarakan turut menyentuh keindahan pemikiran sang penyair dari sisi tema, perasaan, nada dan tujuan (intention).

Seseorang penyair bukan sekadar melontarkan luahan pengalaman mahupun merakam apa-apa yang dilihat atau dialaminya, akan tetapi  turut menitip pemikiran serta falsafah dalam karya yang dihasilkan ke arah penginsanan khalayak pembaca, khususnya, dan masyarakat, umumnya. Sajak yang dinukilkan juga harus turut mengambil kira unsur ‘penitipan’ perasaan.  Hal yang sedemikian itu menagih penghayatan serta penjiwaan yang mendalam sang penyair.  Cakupannya bukan sekadar terbatas dalam konteks sudut pandangan mata  kasar semata-mata, akan tetapi menerjah jauh ke lubuk nubari.

Keupayaan menitip unsur penjiwaan dalam karya bukan berupa anugerah yang dimiliki setiap insan.  Namun demikian, kemahiran berkenaan mampu dipupuk serta dikuasai.  Akan tetapi, pembentukan serta penguasaan kemahiran tersebut memakan tempoh masa yang amat panjang.  Hal sedemikian juga berupa suatu aspek ‘keindahan’ yang sering tertirai. Jika kita baca dan hayati sajak penulis yang tersohor, apa-apa yang diluahkan lewat sajak mereka, menagih penaakulan yang mendalam. Untuk memahami apa-apa yang tersirat di sebalik bait-bait yang terjalin, menuntut pembacaan yang berulang-ulang di samping penerjahan kedalaman lautan tafsir.  Hal yang sedemikian inilah berupa keunikan genre ini, iaitu nilai estetik yang dicitrakan lewat stail, pemilihan diksi, pengungkapan, keselarasan dan kesatuan, serta unsur primernya, pemikiran dan falsafah yang tersirat sebalik setiap penceritaan. 

Dalam penukilan sesebuah sajak, perkara yang perlu diambil perhatian ialah aspek penceritaan atau peluahan idea sewajarnya bersifat menyeluruh atau lengkap serta padat.  Dalam konteks ini, perkara yang dimaksudkan merujuk kesempurnaan penceritaannya dalam ruang yang terhad.  Dari titik permulaan, berkembang ke fasa pertengahan dan ditamatkan dengan pengakhiran.  Hal sedemikian menjadikan sesebuah karya sajak itu mantap dan “padat”.  Hal yang sedemikian perlu dititikberatkan kerana apa-apa yang disampaikan lewat apa-apa juga genre, bertujuan untuk ditatapi oleh khalayak pembaca. Andai apa-apa yang ingin diluahkan pengkarya tidak “lengkap” atau kabur, khalayak tidak akan mampu menyelami, apatah lagi memahami apa-apa yang ingin disampaikan.  Apatah lagi untuk merasai dan menjiwai perasaan pengkarya lewat tulisannya dan menghadam “pesanan” atau pemikiran yang dititipkan. Seseorang penyair berkaliber yang berupaya menampilkan keindahan pemikiran dalam karyanya, akan turut mampu menimbulkan citraan atau gambaran (imagery) seakan-akan pembaca mendengar, melihat, merasakan sebagaimana yang digambarkan oleh penyair dalam karyanya.

Bertitik tolak daripada apa-apa yang diperkatakan di atas, fokus perbincangan terarah kepada tiga buah sajak yang tersiar dalam ruangan ini pada minggu lalu.  Sajak-sajak tersebut ialah *Panduan Pemakanan dan Penyimpanan Rindu” hasil nukilan Abu Adil, “Pintu Keramat” karya Mohamad Nur Khairul dan “Gejolak Hati” tulisan Sebastian Tukau Anak Lani.  Dua buah daripada sajak-sajak berkenaan bersifat romansa, iaitu sajak “Panduan Pemakanan dan Penyimpanan Rindu” dan “Gejolak Hati”, manakala sebuah lagi. Iaitu “Pintu Keramat”, lebih mengarah kepada sajak ode.

Lewat sajak “Panduan Pemakanan dan Penyimpanan Rindu”, Abu Adil berbicara tentang rindu yang dikiaskannya ibarat juadah yang terjual di pasar raga.  Rindu yang berpengawet kenangan, berperisa nostalgia yang pewarnanya masa lalu. Seperti halnya dengan kebanyakan makanan atau jamuan, terdapat kesan sampingannya, sama ada yang positif mahupun negatif. Lantaran hal yang sedemikian, rindu perlu disantuni dengan berhati-hati. Penyair dikesan amat teliti dalam konteks pembinaan tipografi sajak, di samping pemilihan diksi yang sesuai, bersandarkan imej yang ditampilkan sebagai kiasan.  Penyair juga bijak menampilkan metafora dalam karyanya yang antaranya termasuklah pasar raga/bekas kehidupan/udara kelupaan. 

Walaupun demikian, pemilihan tajuk sajak ini agak kurang daya pikatnya dari segi keindahan.  Perlu juga diambil perhatian serta ingatan bahawa tajuk sesebuah karya turut berperanan dalam konteks unsur daya pikat agar khalayak pembaca ‘terpancing’.  Seandainya Abu Adil mampu mengekalkan prestasi kepengarangannya dalam penghasilan sajak asli yang sebegini pada masa hadapan, tidak mustahil beliau akan mampu menempatkan diri sebaris dengan penyair angkatan baharu yang telah menempah kejayaan.  Sama-sama  kita hayati kembali sajak berkenaan yang dinukilkna seperti berikut;

Panduan Pemakanan dan Penyimpanan Rindu

Rindu adalah makanan

yang terjual di pasar raga

mengandungi pengawet kenangan

berperisa nostalgia

dan pewarna masa lalu

ia sesuai dijamu perlahan

sewaktu cahaya bertemu sendirian

menghirup secawan doa suam

namun janganlah kekenyangan rindu

kesan sampingan mengikut individu

nanti timbul ruam kekosongan hati

atau kegatalan tangisan di kepala

bakinya simpan dalam bekas kehidupan

ditutup kedap dari udara kelupaan

supaya rindu kekal nikmat dimakan

apabila diperlukan.

            Sajak “Pintu Keramat” berupa sajak yang dedikasikan oleh penyair buat Pegawai Pintu Besar Penjara yang memberikan gambaran jelas bahawa pintu yang dikiaskan sebagai keramat oleh penyair ialah pintu penjara. Penyair membayangkan cerita di sebalik pintu penjara yang sentiasa tertutup dan hanya terbuka pada waktu dan situasi tertentu.  Kisah para pegawai penjara dan banduan yang walaupun berbeza kedudukan dan peranan, namun matlamatnya satu.

Bagi pegawai penjara, mengubah kehidupan banduan agar menjadi insan yang lebih baik dan berguna manakala bagi banduan, mengubah kehidupan diri sendiri kembali ke arah kebaikan. Sajak ini menggambarkan tugas yang digalas oleh pegawai penjara bukannya mudah, dengan mendepani seribu satu karenah banduan daripada pelbagai latar belakang jenayah yang berbeza. 

            Secara umumnya, pembinaan tipografi sajak ini agak baik.  Begitu juga halnya dengan pemilihan diksi.  Sajak ode sebegini pada lazimnya berupa sajak lirik dengan nada dan gayanya yang bersifat resmi (metrumnya agak ketat). Diimbas kembali sajak yang dinukilkan seperti berikut:       

Pintu Keramat

Terbuka penuh hikmah

Tertutup penuh cerita

Tersingkap seribu kisah

Kisah manusia pelbagai rencah

Mengubah manusia bukannya mudah

Berserabut seribu pelbagai masalah

Membuat jiwa bisa gundah

Kuat jiwa dipersiap sudah

Pintu keramat teramat menyengat

Pasti tersusuk ke hati tersemat

Menyeringai penuh membawa amanat

Menjadi pemula pembakar semangat

Mengubah insan menjadi hebat

Melupakan segala kisah musibat

Menjadi tempat lubuk nasihat

Menyelusuri hidup penuh berkat

Agar menjadi insan bermanfaat

Tidak selalu kufur nikmat

Sentiasa diingat akan nasihat

Mengubah peribadi menjadi sihat

Sihat jiwa sihat sepakat

Pintu keramat pemula berkat.

            Sajak ketiga, “Gejolak Hati” bernada romantik ini dibina lewat 3 rangkap. Penyair menyuarakan kekesalan atas sikap tergesa-gesa dan tidak berhati-hati dalam peluahan perasaan terhadap seseorang yang menyebabkan beliau terlontar di lembah kekecewaan.  Binaan sajak ini sederhana dengan penyair menampilkan penerapan unsur repitasi, /andai aku/ pada baris pertama rangkap pertama dan kedua. Dalam rangkap ketiga, baris pertama dan kedua yang dinukilkan, iaitu /siang menanti malam/malam menanti siang/ ada kesamaannya dengan seni kata lagu Kekasih Awal dan Akhir yang didendangkan oleh Dato’ Jamal Abdillah.  Bezanya hanya dari segi turutan. Hal yang sedemikian, seandainya boleh, cuba elakkan kerana tidak menggambarkan keindahan dari segi keaslian idea atau pemikiran. Secara umumnya sajak ini agak polos sifatnya dan kurang menampilkan kesan luapan perasaan.   

Gejolak Hati

Andai aku tidak tergesa-gesa,

menyata cinta pada bunga jelita,

mungkin hatiku lebih terjaga.

Andai aku berhati-hati,

mengukir nama indahmu di hati ini,

mungkin aku tidak begini.

Siang menanti malam,

malam menanti siang.

matahari terbit mengenang luka,

matahari terbenam mengenang sengsara,

saban hari kukenang nasib diri,

kusimpan seribu sesalan sehingga kini.

            Secara keseluruhannya, ketiga-tiga buah sajak yang dihasilkan baik dari segi pembinaan puisi (method of poetry),  Pun demikian, dari aspek hakikat puisi (nature of poetry), masih wujud ruang dan peluang untuk melakukan pelarasan ke arah penambahbaikan.  Kepada Abu Adil, tahniah kerana menampilkan sebuah sajak yang baik. Buat  Mohamad Nur Khairul dan Sebastian Tukau Anak Lani, teruslah berkarya dan tingkatkan usaha untuk menghasilkan karya-karya yang lebih baik dan mencabar dari segi tema. Tampilkan keindahan pemikiran dalam karya kerana karya-karya yang indah membentuk peribadi yang indah. Sekali lagi syabas dan tahniah.

            Salam bahasa, sastera dan seni budaya.  Bahasa Nadi Bangsa. 

Continue Reading

Previous: Brayun
Next: Membaca “Brayun” Secara Konkrit Sastera

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.