Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Keindahan akhlak dalam kegembiraan
  • RENCANA

Keindahan akhlak dalam kegembiraan

Utusan Sarawak 3 hours ago
RAYA bukan sekadar gembira, tetapi cerminan akhlak kita. Foto hiasan

HARI Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan bagi umat Islam setelah sebulan berjuang melawan hawa nafsu dalam bulan Ramadan. Ia bukan sekadar hari untuk bergembira dengan pakaian baharu, makanan yang enak, dan kunjungan ke rumah sanak saudara, tetapi lebih daripada itu, ia adalah medan untuk menzahirkan keindahan akhlak yang telah didik sepanjang Ramadan. 

Kegembiraan yang diraikan seharusnya dihiasi dengan adab dan akhlak mulia agar ia menjadi ibadah yang diterima di sisi Allah SWT. Malah, Islam tidak melarang umatnya untuk bergembira, bahkan menggalakkan kegembiraan berlandaskan syariat.

Namun, kegembiraan tersebut mestilah dikawal agar tidak melampaui batas. Sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Araf ayat 31 yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah pada setiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan solat), dan makanlah serta minumlah, tetapi jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan.”

Ayat ini menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf keindahan dan kegembiraan, tetapi dalam masa yang sama menekankan keseimbangan dan kesederhanaan.

Oleh itu, dalam menyambut Hari Raya, uamt Islam hendaklah memastikan kegembiraan mereka tidak disertai dengan pembaziran, riak atau perkara yang melalaikan.

Akhlak mulia menjadi tunjang utama dalam kehidupan seorang Muslim. Rasulullah SAW diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia. Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (hadis riwayat  Ahmad) 

Salah satu manifestasi keindahan akhlak dalam kegembiraan ialah amalan bermaaf-maafan. Hari Raya menjadi peluang terbaik untuk membersihkan hati daripada dendam dan permusuhan. Firman Allah SWT dalam surah al-Imran ayat 134: “dan orang  yang menahan kemarahannya dan memaafkan kesalahan orang lain. Dan Allah SWT menyukai orang yang berbuat kebaikan.” 

MENJAGA ADAB DALAM KEGEMBIRAAN 

 Menjaga adab dalam suasana gembira bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya apabila seseorang itu leka dengan hiburan dan keseronokan.

Namun, seorang Muslim yang beriman sedar bahawa setiap perbuatannya diperhatikan oleh Allah SWT.

Oleh itu, dia akan berusaha untuk menjaga batas syariat walaupun dalam keadaan gembira. 

Antara adab yang perlu dijaga ialah mengelakkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, menjaga aurat, serta menjauhi hiburan yang melalaikan.

Kegembiraan yang sebenar bukanlah pada hiburan yang berlebihan, tetapi pada ketenangan hati dan keberkatan yang diperoleh daripada ketenangan hati dan keberkatan yang diperoleh daripada ketaatan kepada Allah SWT.

Selain itu, menjaga lisan juga merupakan aspek penting dalam akhlak. Dalam suasana berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan, seseorang perlu berhati-hati agar tidak mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati, mengumpat atau menyindir orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkat yang baik atau diam.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Akhirnya, keindahan akhlak dalam kegembiraan Hari Raya adalah cerminan kejayaan sesorang dalam mendidik dirinya sepanjang Ramadan.

Jika seseorang mampu mengekalkan akhlak mulia dalam suasana gembira, maka itulah tanda bahawa ibadah puasanya diterima dan memberi kesan dalam kehidupannya. 

Kisah adab Abu Ayyub Al-Ansari terhadap Rasulullah SAW

ABU Ayyub al-Ansari merupakan salah seorang sahabat Nabi yang terkenal dengan akhlak dan adab yang sangat tinggi terhadap Rasulullah SAW.

Beliau adalah antara penduduk Madinah yang bertuah kerana rumahnya dipilih sebagai tempat persinggahan Rasulullah SAW ketika peristiwa hijrah.

Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, ramai sahabat berebut-rebut untuk menjadi tuan rumah Baginda. Namun, Rasulullah SAW menyerahkan urusan tersebut kepada unta Baginda, dan akhirnya unta tersebut berhenti di hadapan rumah Abu Ayyub.

Dengan penuh kegembiraan dan rasa syukur, beliau menyambut Rasulullah SAW dan menjemput Baginda tinggal di rumahnya.

Pada awalnya, Rasulullah SAW memilih untuk tinggal di tingkat bawah rumah, manakala Abu Ayyub dan isterinya berada di tingkat atas.

Namun, keadaan ini membuatkan Abu Ayyub berasa tidak tenang. Beliau bimbang pergerakan mereka di atas akan mengganggu Rasulullah SAW di bawah.

Pada suatu malam, mereka terjaga dan menyedari bahawa mereka berjalan di atas tempat Rasulullah SAW berada.

Perasaan takut dan hormat menyebabkan mereka berjalan perlahan-lahan di tepi dinding agar tidak menimbulkan bunyi.

Pernah juga berlaku satu kejadian di mana air tertumpah di lantai atas. Abu Ayyub segera mengelap air tersebut menggunakan kain kerana takut ia akan menitis ke bawah dan mengganggu Rasulullah SAW.

Keadaan ini menunjukkan betapa halusnya adab dan kasih sayang beliau terhadap Baginda.

Akhirnya, Abu Ayyub memohon kepada Rasulullah SAW agar Baginda berpindah ke tingkat atas supaya beliau lebih selesa, dan permintaan itu diperkenankan.

Kisah ini menggambarkan keindahan adab seorang sahabat yang sentiasa mendahulukan Rasulullah SAW dalam setiap perkara.

Oleh Hanzalah Azman

Continue Reading

Previous: Cuaca panas bawa lebih rezeki kepada pengusaha belacan, ikan masin

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.