

ENGKILILI: Misteri kehilangan seorang warga emas, Chin Shin Fah, 60, yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu di kawasan Rumah Baie Merio Tambak di sini, masih belum menemui sebarang petunjuk baharu sehingga petang tadi.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa dipercayai hilang selepas keluar dari ruai rumah panjang berkenaan pada malam 3 Januari lalu, ketika menghadiri upacara sembahyang bersama ahli keluarganya.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar 11.30 malam apabila mangsa dikatakan keluar dari rumah panjang tersebut sebelum gagal kembali semula, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga.
Usaha pencarian awal yang dijalankan oleh ahli keluarga dan penduduk kampung di sekitar kawasan berkenaan tidak membuahkan hasil sebelum satu laporan polis dibuat pada petang Ahad.
Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju lengan panjang berwarna keperakan dan seluar pendek berwarna kehitaman.
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang dikoordinasikan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman bersama beberapa agensi lain diteruskan hari ini dengan skop pencarian yang diperluaskan.
Bagaimanapun, operasi pada sebelah pagi tadi terpaksa ditangguhkan sementara berikutan cuaca hujan, selain memberi ruang kepada ahli keluarga mangsa untuk menjalankan upacara mengikut adat kepercayaan mereka.
Operasi disambung semula pada 2.00 petang dengan pasukan SAR dibahagikan kepada satu kumpulan besar yang memfokuskan pencarian di kawasan kebun dan ladang sawit di belakang Rumah Panjang Baie.
Pasukan penyelamat menggunakan kaedah tinjauan dan pencarian menyeluruh meliputi radius sejauh dua kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
Namun, Komander Operasi, Chimian Duyu memaklumkan sehingga 4.30 petang, tiada sebarang penemuan atau petunjuk baharu berjaya dikesan.
Operasi SAR hari kelima ditangguhkan secara rasmi pada 5.00 petang dan akan disambung semula pada pagi esok bagi meneruskan usaha pencarian.
Selain JBPM, operasi ini turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), pasukan Bomba Sukarela serta penduduk kampung setempat.
Pihak berkuasa memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan mangsa agar segera menghubungi balai polis berhampiran atau bilik gerakan operasi bagi membantu siasatan dan usaha pencarian.
Oleh Adi Safarman