BERDASARKAN definisi digunakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, luar bandar ialah kawasan yang berada di luar kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mempunyai penduduk kurang daripada 10,000 orang.
Kawasan luar bandar juga termasuk kawasan penempatan peneroka, estet, kampung baru yang terletak di luar kawasan operasi PBT.
Dalam bidang sains pembangunan luar bandar (rural) merujuk kepada kawasan yang didominasi oleh penggunaan tanah yang luas terutama untuk pertanian dan lipuran hutan. Ruang ini wujud pada masa kini atau baru diberikan perhatian. Luar bandar juga mengandungi petempatan kecil berskala rendah yang mempunyai hubungan kuat antara bangunan dan landskap yang meluas dan dianggap sebagai kawasan luar bandar oleh kebanyakan penduduknya.
Aspek ini juga dapat diperlihatkan berdasarkan suatu cara hidup yang ditandai oleh kesatuan identiti berdasarkan penghormatan terhadap tingkah laku sebagai budaya dan sistem nilai serta penghargaan terhadap kualiti alam sekitar, sebahagian daripada landskap yang meluas.
Dalam konsep fungsional ini, terdapat beberapa andaian mengenai hubungan luar bandar dan bandar. Hubungan pertanian dan luar bandar sering menjadi jalinan kabur makna dari segi perkaitan di antara satu sama lain. Kaburan ini semacam hanya mahu mempermudahkan pemecahan masalah konseptual yang sukar akan tetapi timbul akibat kaburnya batas antara kota dan pedesaan yang banyak dibahaskan.
Namun dengan ada pusat bersifat fungsional bagi perkampungan sering kali menjadikannya dapat memperbaharui bentuk implisit dari dikotomi atau transisi daripada perkampungan ke bandar. Teori Gemeinschaft (komuniti) dan Gesellschaft (masyarakat) oleh Tonnies (1957), perbezaan sifat dan situasi di antara kehidupan desa dan bandar.
Terdapat juga apabila melihat aspek konsep ekonomi politik yang melihat aspek produksi sosial kehidupan yang semakin terhubung ke dalam dinamika politik ekonomi nasional dan antarabangsa. Yang bermakna banyak hal yang terjadi di dalam kawasan luar bandar disebabkan oleh faktor-faktor di luar seperti kepesatan ekonomi yang boleh ‘menghilangkan konsep luar bandar’.
Jurang luar bandar
Berdasarkan penduduk Malaysia seramai 32.4 juta, terdapat 24.9 peratus terdiri daripada luar bandar, manakala terdapat 75.1 peratus merupakan populasi masyarakat bandar. Dari segi purata pendapatan negara ialah RM 7,901, namun purata pendapatan masyarakat luar bandar cuma RM5,004 manakala penduduk bandar mempunyai purata sebanyak RM8,635. Hal ini menunjukkan perbezaan ketara.
Begitu juga dari segi kadar kemiskinan, meskipun kadar kemiskinan negara ialah sebanyak 5.6 peratus, kadar kemiskinan di luar bandar ialah sebanyak 12.4 peratus manakala kadar kemiskinan bandar cuma sekitar 3.8 peratus. Isu pengangguran luar bandar pula agak tinggi, iaitu sebanyak 4.6 peratus berbanding di bandar cuma 3.5 peratus sahaja.
Hal ini menunjukkan kadar kemiskinan dan kadar pengganguran di luar bandar agak membimbangkan. Cuma dari segi program e-Kasih, iaitu program menyimpan sistem pengkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan dapat dilihat keberkesanan situasi sebenar kehidupan luar bandar dan bandar.
Hal ini diperoleh kerana ini merupakan Bank Data Kemiskinan Nasional yang mengandungi maklumat mengenai kemiskinan bermula dari profil individu, program/bantuan yang diterima oleh Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) daripada agensi pemberi bantuan sehinggalah kepada permohonan bantuan dan pemantauan keberkesanan program/bantuan yang diterima.
Ia terdiri daripada komponen data daripada maklumat asas Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR), Maklumat Lokasi, Kediaman, Pendidikan, Kemahiran dan Pekerjaan, Pemilikan Harta, Kesihatan, Pendapatan serta Bantuan. Berdasarkan daftar e-kasih terdapat 212,470 Ketua Isi Rumah (KIR) sebagai penerima manakala di bandar pula sejumlah 221, 694 penerima daripada 434,164 penerima di seluruh negara.
(Dipetik daripada Bahagian Perancangan Strategik Kementeria Kemajuan Desa dan Pembangunan Wilayah, 2023)
Cabaran pembangunan luar bandar
Penurunan populasi luar bandar di Malaysia merujuk pada penurunan jumlah penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman atau luar bandar negara. Penurunan ini bukanlah suatu yang luar biasa kerana ia telah menjadi fenomena global di banyak negara dan ini disebabkan oleh beberapa faktor yang menyumbang ke arah penurunan tersebut.
Faktor urbanisasi adalah proses migrasi penduduk dari daerah pedesaan ke daerah perkotaan. Di Malaysia, pertumbuhan ekonomi yang pesat dan peluang kerja lebih baik di kota telah mendorong banyak orang untuk pindah ke wilayah perkotaan. Mereka mencari lapangan kerja yang lebih baik, akses ke fasiliti kemudahan kesihatan, pendidikan lebih baik, dan infrastruktur lebih baik secara umum. Misalnya ramai penduduk Iban di Sarawak berhijrah ke Johor dan Singapura kerana peluang meraih pendapatan yang lebih tinggi.
Faktor pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, kereta api, dan lapangan terbang di wilayah perkotaan telah meningkatkan akses dan perhubungan ke kota-kota besar. Hal ini membuat kehidupan di kota menjadi lebih selesa dan pengurangan ketergantungan pada daerah luar bandar. Kurangnya infrastruktur yang mencukupi di luar bandar, seperti pengangkutan dan kemudahan awam juga dapat menjadi faktor yang mempengaruhi penurunan populasi di luar bandar.
Perubahan pola hidup dan nilai-nilai sosial juga dapat mempengaruhi keputusan seseorang untuk meninggalkan kehidupan di luar bandar. Generasi muda cenderung mencari kehidupan yang lebih moden dan berkembang di persekitaran perkotaan yang dilihat lebih canggih dan serba serbi mencukupi, sementara generasi tua yang tinggal di luar bandar cenderung beralih ke kota untuk mendapatkan akses lebih baik seperti keselesaan dan kemudahan mendapat rawatan kesihatan.
Keterbatasan ekonomi di luar bandar sering kali membuat penduduk sulit memenuhi keperluan hidup. Peluang ekonomi yang terbatas, terutama dalam hal kerja di sekitarnya menjadi faktor penting yang mendorong migrasi penduduk ke bandar yang menawarkan peluang lebih banyak untuk dijadikan pilihan.
Sesungguhnya, pihak kerajaan sedar terdapat penurunan populasi luar bandar ini dan telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasi masalah ini. Misalnya, pihak kerajaan telah melancarkan program pembangunan luar bandar bertujuan untuk meningkatkan aksesibiliti, kualiti hidup, dan peluang ekonomi di daerah-daerah luar bandar. Namun, usaha tersebut masih dalam tahap awal dan masalah penurunan populasi luar bandar di negara ini masih menjadi cabaran yang perlu ditangani dengan baik.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)