
NEW YORK: Penggunaan meluas kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan harian dilaporkan menyebabkan sebahagian pengguna berdepan keletihan mental akibat keperluan mengurus teknologi yang sepatutnya memudahkan urusan mereka.
Pengguna tegar AI mengakui berasa terbeban untuk mengikuti perkembangan teknologi itu, termasuk perlu meneliti barisan kod yang banyak, mengurus pelbagai pembantu AI serta menyediakan arahan (prompt) yang panjang dan terperinci.
Perunding di Boston Consulting Group (BCG) menamakan fenomena itu sebagai ‘AI brain fry’, iaitu keadaan keletihan mental berpunca daripada penggunaan atau pemantauan berlebihan terhadap alat AI sehingga melangkaui had kognitif manusia.
Kemunculan ejen AI yang mampu melaksanakan tugasan komputer secara automatik meletakkan pengguna dalam peranan mengurus pekerja digital yang pantas dan pintar, berbanding melaksanakan tugas secara manual.
Pengasas bersama syarikat pemula LoveMind AI, Ben Wigler berkata, situasi itu mewujudkan beban kognitif baharu kerana pengguna perlu sentiasa memantau prestasi model AI.
Sementara itu, pengasas firma integrasi AI nouvreLabs, Tim Norton menjelaskan bahawa keletihan itu berlaku apabila pengguna membangunkan banyak ejen AI yang memerlukan pengurusan berterusan.
Namun, BCG dan pihak lain tidak melihat keadaan itu sebagai faktor utama yang meningkatkan keletihan kerja secara keseluruhan. Kajian melibatkan 1,488 profesional di Amerika Syarikat mendapati kadar keletihan menurun apabila AI mengambil alih tugasan berulang.
Tumpuan kepada pembangun perisian
Pada masa ini, fenomena ‘otak tepu’ lebih ketara dalam kalangan pembangun perisian memandangkan keupayaan AI menghasilkan kod komputer dengan pantas.
Jurutaip perisian, Siddhant Khare menyifatkan ironi apabila kod yang dijana AI memerlukan penelitian lebih rapi berbanding kod yang ditulis manusia.
Seorang pengatur cara di syarikat Kanada, Adam Mackintosh turut menyuarakan kebimbangan terhadap risiko kelemahan keselamatan serta kesukaran memahami keseluruhan struktur kod yang dijana AI.
Selain itu, ejen AI yang tidak dipantau dengan baik berpotensi menyalah tafsir arahan, sekali gus menyebabkan pembaziran kuasa pengkomputeran dan kos kepada organisasi.
Tekanan dan keletihan emosi
Wigler turut menjelaskan bahawa keupayaan AI meningkatkan produktiviti mendorong sesetengah pasukan teknologi bekerja lebih lama hingga lewat malam.
Mackintosh berkongsi pengalaman menghabiskan 15 jam berturut-turut bagi memperhalusi sekitar 25,000 baris kod dalam satu aplikasi, sehingga berasa tidak lagi mampu meneruskan kerja.
Beliau turut mengakui mengalami perubahan emosi seperti mudah marah dan kurang berminat berinteraksi selepas tempoh kerja intensif tersebut.
Seorang pemuzik dan guru yang enggan dikenali pula berkata, beliau sukar ‘merehatkan minda’ kerana terus bereksperimen dengan AI pada waktu malam.
Walaupun berdepan cabaran itu, kebanyakan individu yang ditemu bual masih berpandangan positif terhadap AI.
Dalam pada itu, BCG mencadangkan supaya pihak pengurusan syarikat menetapkan garis panduan jelas berkaitan penggunaan dan pemantauan AI oleh pekerja.
Namun, Wigler berpandangan aspek penjagaan kendiri masih belum menjadi keutamaan dalam budaya kerja di Amerika Syarikat, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kelestarian penggunaan AI dalam jangka panjang.- AFP