Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Kehidupan dalam ‘negara gagal’
  • GLOBAL

Kehidupan dalam ‘negara gagal’

Utusan Sarawak 4 years ago
TUKANG gunting rambut terpaksa menggunakan lampu dari telefon bimbitnya selepas berlaku gangguan bekalan elektrik di Hamra, Beirut. • Foto AFP

BEIRUT: Harga makanan yang me­lampau, kekurangan bahan bakar, bekalan elektrik, sistem kesihatan yang teruk selain masalah bekalan barangan keperluan harian.

Itu antara yang dihadapi penduduk Lubnan setiap hari sejak 2019 sehingga ramai yang membuat kesimpulan negara ini berdepan status ‘negara gagal’, biarpun negara sudah memiliki Perdana Menteri baharu, Najib Mikati dengan barisan Kabinetnya.

Dugaan hidup dihadapi setiap hari penduduk Lubnan diceritakan doktor muda, Zeinab Mawla kepada AFP baru-baru ini.

Zeinab menceritakan bagaimana dia terpaksa berpeluh menunggu di dalam kereta untuk mengisi minyak, pada musim panas, di sebuah stesen minyak di Jnah, daerah di selatan Beirut.

Waktu itu sudah hampir te­ngah hari, tetapi dia mula beratur sejak 4.00 pagi sebelum bergegas bekerja di Hospital Universiti Rafik Hariri (RHUH), hospital awam terbesar di negara ini dan kemudahan rawatan Covid-19 terkemuka.

Puluhan kereta berada di depannya sementara di belakangnya pula, kereta-kereta lain turut beratur sejauh setengah kilometer. Tentera mengawal laluan tetapi gagal menahan kemarahan orang.

Dengan Lubnan berdepan masalah kekurangan bekalan bahan api, Zeinab, 27, terpaksa bergilir-gilir dengan rakan hospital untuk mengisi minyak manakala yang lain bertugas di hospital.

“Ini memerlukan lapan ke sembilan jam. Keadaan semakin tegang. Usaha untuk mengisi petrol seperti satu perjudian hidup,” katanya merujuk kepada pergaduhan yang sering berlaku di stesen-stesen minyak di negara ini.

SEMUANYA ‘BERJIMAT’
Kembali ke hospital, doktor itu menelusuri koridor yang ma­lap dan berwap menuju ke wad Covid­-19 di mana Zeinab merawat puluhan pesakitnya.

Banyak hospital di seluruh Lubnan bertindak memadam lampu dan penyaman udara di koridor dan ruang pejabat.

Dengan rakan sekerja yang tidak dapat ke tempat kerja ekoran kekurangan bahan bakar, Zeinab merawat ramai pesakit berbanding biasa. Dia kelihatan sangat letih.

Seperti kebanyakan rakan yang lain, dia tidur di hospital dan ha­nya pulang ke rumah setiap dua atau tiga hari. Di sudut lain, Zei­nab mendapati dia tidak dapat memberikan rawatan yang terbaik kepada pesakit kerana kekurangan ubat dan peralatan.

Di Lubnan hari ini, hospital memberitahu pesakit supaya membawa ubat-ubatan sendiri dan ‘tidak dapat melayan pesakit’ sepenuhnya kerana serba kekurangan.

Dengan sistem kewangan dan perbankan yang lumpuh sejak 2019, ditambah dengan pandemik Covid-19, sektor kesihatan adalah salah satu daripada banyak sektor yang runtuh.

Lubnan berdepan krisis ekonomi terburuk di dunia dalam tempoh 150 tahun, membuatkan penduduk alami kemiskinan.

Dalam krisis yang menyentuh setiap sudut kehidupan, Zeinab dan ramai lagi tertanya-tanya, berapa lamalagi dapat bertahan de­ngan apa dihadapi ketika ini.

HARGA MAKANAN NAIK
Selama beberapa dekad, Lubnan bergantung kepada barang import seperti bahan bakar, ubat-ubatan dan produk makanan. Kerajaan pula menarik kembali subsidi untuk barang-barang tertentu.

Ketika subsidi ditarik, kos asas seperti beras dan kacang mening­kat dua kali ganda dalam satu tahun ini dan harga bahan bakar meningkat kerana kebergantu­ngan pada import.

Laporan Pemerhati Krisis Lubnan di American University of Beirut (AUB) pada Julai lalu mendapati, kos bakul makanan asas keluarga di negara ini adalah lima kali ganda tinggi berbanding gaji minimum.

Ketika harga makanan meningkat hingga 400 peratus pada Di­sember tahun lalu, barang seperti daging dan buah-buahan menjadi barang mewah.-AFP

Continue Reading

Previous: Kumpulan bersenjata bebaskan 10 pelajar yang diculik
Next: China tunjuk kekuatan udara miliknya

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.