ORANG Cina yang datang dan menetap di Sarawak bermula sejak abad ke-19 walaupun hubungan Sarawak dan China sudah terjalin sejak kewujudan kerajaan Melayu di Santubong. Sarawak bagi sesetengah orang Cina yang datang peringkat awal adalah berbeza keadaannya dengan tanah asal mereka.
Hanya kelompok masyarakat Cina dialek Hakka sahaja yang sudah biasa dengan keadaan Sarawak kerana mereka telah berhijrah ke kawasan kaya dengan emas di Sambas dan Pontianak sejak pertengahan abad ke-18. Mereka mempunyai hubungan dengan masyarakat tempatan dan penjajah Barat.
Malah, mereka pernah mendirikan kerajaan sendiri di Sambas. Apabila timbul masalah di Sambas, beberapa kumpulan orang Hakka ini mula berhijrah ke kawasan Bau yang mempunyai simpanan galian emas yang menguntungkan.
DUGAAN AWAL
Bagi masyarakat Hokkien, Hailam, Teochew, Kantonis dan Chao An yang datang selepas Kuching dibuka oleh Pengiran Mahkota pula tidak berasa bimbang dengan keadaan di Sarawak. Ini kerana mereka yang rata-rata dari Singapura dan ada juga dari selatan China dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di Kuching ketika itu. Oleh itu, mereka telah memahami keadaan yang ada di Sarawak sama dengan di Singapura.
Begitu juga masyarakat Cina dialek Henghua yang datang ke Sarawak pada 1912 walaupun berdepan persaingan dengan orang Cina dialek lain dalam ekonomi tetapi mereka mampu tinggal kekal di Kuching. Mereka mengambil inisiatif untuk terlibat dalam sektor perikanan laut dalam.
Hanya masyarakat Cina Foochow yang datang kemudiannya agak canggung dengan tempat yang mereka ditempatkan. Mereka yang rata-rata datang terus dari China dan tinggal pula kawasan pedalaman Sarawak menyebabkan rasa terasing dan dibelenggu dengan pelbagai khabar yang tidak menyenangkan tentang Sarawak.
Berita-berita tentang kegiatan pemenggal kepala antara perkara yang menghantui kehidupan mereka yang tinggal di Sungai Seduan (Sungai Merah), Sibu. Kehidupan mereka terjamin apabila mendapat bantuan daripada mubaligh Kristian Metodist yang datang untuk memberi tunjuk ajar kehidupan di Sarawak.
Secara beransur-ansur kehidupan mereka mula biasa dengan keadaan di Sarawak. Malah mereka semakin aktif menembusi pasaran di pedalaman dengan membina kedai-kedai runcit dan menjadi pembeli kepada hasil-hasil hutan di kawasan pedalaman Sarawak.
Kejayaan orang Cina dalam perniagaan ini terus mekar apabila mereka memiliki kepentingan dalam sektor perbankan dan syarikat perkapalan.
PERSATUAN PERSAHABATAN
Salah satu usaha untuk menjaga kebajikan dan budaya mereka di Sarawak adalah penubuhan persatuan-persatuan dialek. Antara persatuan dialek terawal yang muncul ketika itu ialah Persatuan Kwong Wei Siew di Kuching. Persatuan ini dtubuh oleh orang Cina dialek Kantonis dan satu-satunya persatuan yang sah oleh kerajaan Brooke pada 1853.
Selepas itu beberapa lagi persatuan yang wujud mengikut kawasan asal dan dialek mereka seperti Persatuan Teochew (1864), Persatuan Hokkien (1871) dan Persatuan Kaying (1881). Tambahan daripada itu muncul juga pertubuhan kerjasama perniagaan iaitu dewan peniagaan Cina. Usaha masyarakat Hokkien di Kuching membawa penubuhan Dewan Peniagaan Orang Cina Kuching pada 1930, manakala di Sibu wujudnya persatuan kebajikan pada 1910 yang dinamakan sebagai Sibu’s Foochow Kong Yan Society.
Terdapat juga beberapa pertubuhan kongsi gelap yang muncul secara tersembunyi di Sarawak. Kongsi gelap ini juga mempunyai matlamat sama dalam menjaga kebajikan orang Cina di Sarawak. Pihak kerajaan Brooke mengetahui tentang kegiatan ini, dan berasa bimbang akan potensinya mengancam keselamatan di Sarawak. Oleh itu, beberapa usaha dibuat untuk menghapuskan gerakan sulit ini.
Kebimbangan James Brooke dalam hal ini menjadi realiti apabila kongsi gelap di Bau menyerang Kuching pada 1857. Walaupun kongsi gelap yang menyerang Kuching ini berjaya digagalkan tetapi beberapa kongsi gelap yang kecil masih bergerak aktif di Kuching. Namun pergerakan mereka dapat dikawal oleh pihak kerajaan.
WARISAN BUDAYA
Tujuan asal kedatangan orang Cina ini ke Sarawak adalah untuk mencari peluang ekonomi dan ada yang sudah mendapat kekayaan akan pulang semula ke China. Namun demikian mereka yang datang tidak melupakan warisan budaya mereka di China. Mereka membawa sekali budaya dan adat resam mereka ke Sarawak.
Pembinaan kuil-kuil Buddha, Toaisme dan Konfusius serta dewa-dewa lain mencerminkan mereka tidak meninggalkan budaya asal mereka. Pembinaan kuil-kuil ini sebagai tanda terima kasih mereka kepada dewa-dewa yang telah membantu memudahkan dan menyelamatkan perjalanan mereka ke Sarawak.
Kuil-kuil yang mereka dirikan ini juga bukannya sebagai pusat ibadah semata-mata tetapi mempunyai pelbagai fungsi seperti tempat mesyuarat bagi aktiviti sosial mereka, tempat upacara untuk kelahiran, perkahwinan dan kematian, pejabat persatuan dan kadang-kala menjadi bilik-bilik kelas bagi anak-anak mereka untuk menimba ilmu pelajaran.
PENDIDIKAN
Aspek budaya orang Cina ini diperkukuhkan lagi dengan pembinaan beberapa sekolah Cina yang terdapat di beberapa tempat di Sarawak. Oleh kerana kebanyakan orang Cina yang datang ke Sarawak tidak mempunyai pendidikan yang baik tetapi mereka mahu agar anak-anak mereka ini diberi pendidikan.
Pada peringkat ini ketua-ketua orang Cina dengan kekayaan mereka akan membawa sarjana-sarjana dari China sebagai tutor untuk mengajar anak-anak mereka. Kuil menjadi tempat pengajaran awal mereka sebelum bangunan sekolah dibina. Apabila kewangan mereka telah kukuh barulah bangunan sekolah dibina. Antara sekolah awal yang dibina adalah Hokkien Free School (Kuching, 1912), Chung Cheng School (Sibu, 1906) dan Sze Mei School (Sarikei, 1925).
Ada juga orang Cina yang mendaftar di sekolah-sekolah mubaligh Kristian. Penyertaan mereka dalam sekolah-sekolah mubaligh Kristian ini memberi peluang luas kepada mereka belajar perkara baharu yang berguna untuk masa depan mereka sebagai peniaga dan pentadbir yang berjaya.
PERAYAAN
Orang Cina ini juga tidak melupakan perayaan budaya dan agama mereka. Salah satu perayaan yang diraikan oleh masyarakat Cina pada zaman Brooke adalah Wangkang atau perarakan Chinghay. Perayaan ini pernah dijalankan pada 1898 dan 1928. Selain itu perayaan Tahun Baharu Cina juga tidak dilupai oleh orang Cina yang berhijrah ke Sarawak. Mereka meraikannya dengan penuh tradisi seperti yang diamalkan di tempat asal mereka.
Akhir sekali selamat menyambut Tahun Baharu Cina.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.