Oleh: Dilah Tuah
KATA-KATA penyair sering kali hanyut ke dalam sungai perasaan, sehingga membentuk alunan nada yang pelbagai. Dalam puisi, terdapat lima nada yang biasa ditemui, iaitu patriotik, melankolik, sinis, romantik dan protes. Lazimnya, penyair-penyair pemula cenderung menulis puisi yang bernada romantis dan melankolik. Hal ini bertepatan dengan pandangan Nicolas Boileau (1933) dalam Le Lutrin Et L’Art Poetique yang mengatakan bahawa puisi sebagai seni yang menggabungkan suara, irama, dan kata dalam bahasa untuk menghidupkan khayalan, ingatan, kesan dan luapan perasaan.
Dalam puisi, nada mempunyai hubungan yang akrab dengan unsur estetika, kerana ia dapat mencipta pengalaman estetik kepada khalayak pembaca. Bagi mewujudkan nada dalam puisi, pengarang akan memilih diksi dan mencipta imej serta kiasan untuk melahirkan nada yang berbeza seperti marah, harmonis, syak wasangka, ironis, dan sebagainya (Kamus Kesusasteraan, 2015:240). Justeru, sama seperti melodi dalam muzik, nada dalam puisi akan menghantar pembaca ke daerah batiniah yang sarat dengan konotasi, imej dan perasaan yang merentasi pelbagai dimensi, iaitu dari kejelasan sehingga keabstrakan makna.
Persoalan tentang nada dalam puisi melibatkan penggambaran sikap seseorang penyair terhadap sesuatu perkara yang ingin diungkapkan. Penyataan ini bertepatan dengan definisi nada dalam The New Princeton Encyclopedia of Poetry and Poetics (1993) yang mentakrifkannya sebagai suara penyair yang ingin mendedahkan maklumat tentang sikap, kepercayaan, perasaan atau niatnya. Nada dalam puisi boleh berkisar dari aspek formal hingga tidak formal, agresif hingga defensif, sentimental hingga kritis, dan sebagainya. Pun begitu, nada yang berlebihan serta tidak terkawal akan menghilangkan nilai estetika dalam sesebuah puisi.
Bertitik tolak daripada perbincangan di atas, maka ulasan puisi kali ini akan memfokuskan kepada aspek nada dan estetika yang terdapat dalam tiga buah puisi yang tersiar dalam ruangan ini pada minggu lepas. Antara puisi-puisi yang dibincangkan ialah “Kesepian” karya Meena Nahar, “Dermaga Sepi” karya Veronica Chendang dan “Izinkan Aku Memaknai Rindu” karya Siti Hajar Ahmad. Biarpun ulasan ini memfokuskan kepada aspek nada dan estetika dalam puisi, namun aspek-aspek lain turut dibincangkan.
Puisi pertama berjudul “Kesepian” merupakan hasil nukilan Meena Nahar. Dari segi nada, puisi ini bernada melankolik kerana memaparkan perasaan sedih dan pilu penyair yang kesepian. Hal ini dapat diperhatikan pada baris pertama rangkap pertama “/aku kesepian seorang diri/”. Kesepian penyair bertambah parah kerana merindukan seorang teman seperti pada baris pertama rangkap ketiga “/aku rindu seorang teman, jiwa yang sama/”.
Dari segi bentuk, puisi ini polos kerana diksi yang dipilih oleh penyair bersifat mubazir. Perhatikan pada baris pertama dan kedua dalam rangkap yang pertama, iaitu “/Aku kesepian seorang diri/ jiwa terpaut dalam kesendirian/” yang jelas memperlihatkan pengulangan yang membawa makna yang sama. Frasa seorang diri dan perkataan kesendirian dalam rangkap tersebut jelas merujuk kepada makna yang sama. Walhal, puisi yang baik memerlukan pemadatan kata agar puisi yang dihasilkan dapat mewakili peristiwa yang luas dan mendalam.
Selain itu, puisi ini juga didapati prosaik kerana memiliki struktur yang longgar, penggunaan bahasa yang mudah dimengerti dan kurangnya elemen-elemen estetika. Perhatikan pada rangkap pertama dan kedua seperti di bawah yang hampir kesemua strukturnya longgar dan mendekati gaya prosa.
Aku kesepian seorang diri,
jiwa terpaut dalam kesendirian,
dalam bayang-bayang dunia yang begitu disalah fahami,
di alam gema ini, aku mengembara sendirian,
merindukan hubungan,
tempat di mana hatiku menemukan rumah.
Rasa sakit yang kosong, kerinduan tiada kesudahan,
untuk dipegang seseorang, untuk cinta yang membara.
aku berjalan di jalan ini, di tengah begitu banyak orang,
tapi rasanya seperti hantu, tidak terlihat dan dibuang.
Di samping itu, bahasa yang digunakan oleh penyair ialah bahasa seharian yang memberikan makna langsung dan bukannya makna yang terselindung. Cadangan pemurnian bagi rangkap pertama adalah seperti berikut:
Aku kesepian
merindukan hubungan
kembara sendirian
dalam dunia bayang-bayang
yang hilang di alam gema ini.
Jiwa sakit dan kosong
yang digenggam hilang
yang dirindu tiada penghujung
cinta membara padam
pada jalan yang suram
dan terbuang.
Pada rangkap yang ketiga, penyair menutup puisi ini dengan nada melankolik yang hambar. Diksi yang dipilih tidak memberi kesan yang cukup besar kepada khalayak untuk memahami dan merasai erti kesepian. Meskipun kata-kata yang digunakan memaparkan suasana sunyi, namun puisi ini sendiri agak terlalu umum dan tidak cukup menggambarkan kompleksiti perasaan penyair.
Puisi yang kedua berjudul “Dermaga Sepi” karya Veronica Chendang mengangkat tema kesepian dan kenangan melalui gambaran sebuah dermaga yang sunyi. Nada puisi ini adalah melankolik serta penuh dengan nostalgia. Puisi ini menyentuh perasaan kesunyian dan kehilangan, namun pada masa yang sama memaparkan elemen harapan dan keindahan yang terselubung dalam kesepian.
Dalam puisi ini, penyair menggunakan dermaga sebagai metafora kehidupan, mengingatkan kepada khalayak pembaca bahawa kehidupan juga berubah dan mengalami pelbagai fasa, termasuk kesunyian. Pada sisi yang lain, puisi ini mengajak khalayak merenung tentang kehidupan yang kompleks.
Dari sudut estetika, puisi ini mengandungi banyak imej yang kuat dan berwarna. Gambaran dermaga yang berdiri tegar dan kayu-kayu tua penuh dengan kenangan, membantu membina citra visual yang kuat. Penggunaan bahasa yang menggambarkan kehidupan yang dahulu ceria serta penuh aktiviti, seperti “suara tawa anak-anak bermain bersama” dan “kapal-kapal yang berlabuh cerita petualangan” menyediakan kontras yang kuat dengan kesepian yang kini menguasai dermaga.
Puisi ini juga memanfaatkan elemen alam seperti sinar rembulan, ombak, dan bintang untuk menambah dimensi estetika yang mendalam. Berikut dipaparkan bingkisan penuh puisi ini:
Di tepi laut
dermaga sunyi berdiri tegar
di bawah sinar rembulan
tersusun kayu-kayu tua
penuh dengan kenangan.
Dermaga sepi ini
adalah saksi bisu dari waktu
dahulu hidup dengan ceria
suara tawa anak-anak bermain bersama
kapal-kapal yang berlabuh cerita petualangan
kini hanya sunyi
di bawah cakrawala biru malam.
Ombak yang pernah bercerita tentang petualangan jauh,
kini hanya bergemuruh dalam keheningan sepi.
Dermaga ini menunggu
dengan harapan baru
saat di dalam hati masih tersimpan cerita.
Di dermaga sepi
bintang-bintang berkilauan
seolah-olah mereka menari dalam diam
menghadirkan keindahan menyentuh hati
dengan keajaiban malam yang sunyi.
Dermaga ini adalah metafora kehidupan kita sendiri
kadang penuh dengan keramaian kadang sepi dan hening
namun dalam kesunyian
kita menemukan keindahan yang dalam
dalam dermaga sepi
terbuka cerita yang abadi.
Secara peribadi, puisi ini menarik dan baik. Penyair didapati cermat dalam pemilihan diksi sehingga pembaca dapat menikmati bait-bait kata yang indah dan bermakna. Kendatipun begitu, pemangkasan kata perlu dilakukan agar puisi ini lebih padat dan mampat. Diharapkan gaya penulisan yang indah ini dapat ditingkatkan pada masa akan datang, agar penyair muda yang berbakat ini dapat mencipta puisi-puisi yang lebih berkesan dan memberikan impak yang lebih mendalam kepada khalayak pembaca.
Puisi yang terakhir berjudul “Izinkan Aku Memaknai Rindu” oleh Siti Hajar Ahmad berkisar tentang tema kerinduan, dengan fokus khusus kerinduan kepada Rasulullah S.A.W. Dalam puisi ini, penyair mengungkapkan perasaan rindu yang penuh keteguhan, namun pada masa yang sama dipenuhi dengan ketidakpastian dan penyesalan. Perkara ini dapat diperhatikan pada rangkap pertama puisi ini.
Malam itu
bulan gebu di langit malam
berteman setia prajurit gemerlap
dipeluk manis kidung rindu
lalu berjujuh air mataku
seolah pawana malam rabiulawal ini
menggigit siksa jiwa rapuhku.
Dari sudut nada pula, puisi ini bernada melankolik yang penuh dengan rasa kerinduan. Terdapat elemen-elemen perenungan, kegelisahan, dan penyesalan dalam nada puisi ini. Bahasa yang digunakan mencerminkan keadaan jiwa penyair yang terombang-ambing antara rasa kerinduan dan penyesalan atas perbuatan buruk yang dilakukan. Perkara ini dapat diperhatikan pada rangkap kedua di bawah.
Duhai Yang Memegang hatiku
layakkah rindu ini berlabuh?
sedang diri ini masih hanyut di lautan alpa
akankah rindu ini dipandang?
sedang diri ini jauh dihimpun maksiat
sudikah ya muhammad memanggilku umat?
sedang selawatku semu, amalku goyah.
Selain itu, puisi ini mengandungi imej yang dapat memberikan dimensi visual dan emosional kepada puisi. Penyair juga menggunakan bahasa yang memaparkan konflik dalam jiwa dan ketidakpastian yang berkaitan dengan rindu kepada Rasulullah SAW. Bahasa puisi ini pula mengandungi elemen-elemen agama dan spiritual yang memberikan nuansa estetika yang mendalam seperti pada rangkap ketiga di bawah.
Sekalipun jari bahagia membutir zikir
renai air mata meratib cinta
dan dada sejuk dipujuk sabda
namun, rinduku sakit, ya Rasulullah.
Walaupun puisi ini menarik, namun terdapat beberapa perkara yang perlu dimurnikan seperti ejaan “prajurit” pada rangkap pertama baris ketiga yang perlu dieja sebagai “perajurit”, perkataan “muhammad” pada rangkap kedua baris keenam yang perlu dieja “Muhammad”.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga puisi yang disiarkan dalam ruangan ini pada minggu lalu mempunyai kekuatan dan kelemahan. Bagi puisi yang pertama, penyair perlu lebih banyak membaca puisi-puisi yang dihasilkan oleh penyair besar agar dapat mempelajari bentuk sesebuah puisi yang baik. Bagi puisi kedua dan ketiga, terdapat peningkatan yang ketara, terutamanya dari aspek pemilihan diksi dan nada yang seimbang. Diharapkan ketiga-tiga penyair akan terus gigih dalam menghasilkan puisi-puisi yang menarik dan bermaka pada masa akan datang.
Teruskan berkarya!