Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Keharmonian antara agama pacu pembangunan Sarawak – Francis Harden
  • SEMASA

Keharmonian antara agama pacu pembangunan Sarawak – Francis Harden

Utusan Sarawak 1 day ago
DATUK Francis Harden Hollis merasmikan sambutan Hari Wesak yang telah diadakan di Rumah Ibadat Persatuan Agama Buddha Sri Aman yang terletak di Jalan Foochow, Isnin lalu. Foto ADUN Simanggang

SIMANGGANG: Kepelbagaian agama dan budaya di Sarawak terus mekar hasil kefahaman mendalam antara kaum serta penghormatan terhadap kebebasan beragama, selaras dengan prinsip setiap agama yang mengajar kebaikan kepada penganutnya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, berkata rakyat Sarawak amat bertuah kerana tinggal di negeri yang ditadbir oleh pemimpin cekap yang mengutamakan pembangunan selari dengan arus kemodenan, termasuk tumpuan kepada tenaga hijau dan kelestarian alam sekitar.

“Dalam usaha mencapai status Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030, setiap penganut agama memainkan peranan penting dalam menjayakan pembangunan negeri dengan menjauhkan diri daripada isu ekstremisme agama.

“Suasana harmoni ini membolehkan kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi fokus kepada pembangunan rakyat, terutama dalam aspek prasarana yang dahulunya agak ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Wesak yang diadakan di Rumah Ibadat Persatuan Agama Buddha Sri Aman, Jalan Foochow, di sini, Isnin lalu.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, berkata Sarawak kini bukan sahaja pesat membangun, malah menjadi contoh dalam memupuk perpaduan dan keharmonian antara kaum serta agama di Malaysia.

Menurutnya, kejayaan negeri ini bukan semata-mata diukur melalui pencapaian ekonomi, tetapi turut didorong oleh sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Orang ramai memandang tinggi kepada Sarawak kerana kita bersatu, sama ada penganut Buddha, Islam, Kristian atau Hindu, kita hidup bersama dalam suasana harmoni dan percaya kepada masa depan negeri yang makmur, inklusif serta lestari,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Agama Buddha Sri Aman, Foo Chin Sui dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan atas sumbangan Harden yang telah menyalurkan peruntukan kepada persatuan bagi meringankan beban kewangan dalam melaksanakan aktiviti mereka.

Oleh Adi Safarman

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Lawas bakal bergema dengan Festival Antarabangsa Mei ini
Next: UPMKB sedia tumpuan peminat Seni Islam melalui iFest2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.