
JULAU: Kegiatan pinjaman wang, sama ada berlesen mahupun tidak berlesen yang semakin berleluasa di kawasan luar bandar perlu ditangani segera termasuk membatalkan semua lesen pemberi pinjam wang, tegas Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.
Larry yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes dalam kalangan rakyat setempat, termasuk penjawat awam dan petani, terjerat dalam beban hutang akibat kadar faedah yang melampau.
“Saya amat bimbang melihat ramai penduduk luar bandar yang meminjam wang daripada pemberi pinjam wang berlesen dan tidak berlesen.
“Dalam satu kes, seorang peminjam meminjam RM1,500 dan selepas setahun, hutangnya meningkat kepada RM7,600.
“Ada juga yang meminjam RM6,500 pada 2024 dan kini terhutang lebih RM9,000 dalam tempoh kurang setahun. Lebih menyedihkan, seorang lagi yang meminjam RM7,000 pada 2022, kini berhutang RM54,600 dan terpaksa bersembunyi kerana tidak mampu membayar,” katanya dalam satu kenyataan di laman media sosial Facebooknya, semalam.
Beliau turut mendedahkan bahawa beberapa kenalannya sendiri yang pernah bersekolah bersamanya telah mengambil jalan tragis dengan membunuh diri akibat tekanan hutang tersebut.
“Golongan yang terjebak ini termasuk penjawat awam, guru, petani dan rakyat biasa yang berusaha untuk mencari rezeki,” katanya.
Sehubungan itu, Larry menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dengan membatalkan semua lesen pemberi pinjam wang serta memperhebatkan operasi membanteras pemberi pinjam wang tidak berlesen.
“Ramai Ah Long ini sebenarnya gangster yang mengugut dan menindas golongan miskin serta mereka yang tidak berdaya.
“Mereka (Ah Long) tidak ubah seperti barah dalam masyarakat kita dan telah menyebabkan kerosakan besar kepada keluarga dan komuniti secara keseluruhan,” ujarnya.