PADA zaman Brooke, telah muncul beberapa kelab sosial seperti Sarawak Club, St. Michael Catholic Club, Sarawak Turf Club, Kuching Amateur Dramatic Society dan The Island Club serta Gymkhana Club Miri. Ada juga kelab ditubuh oleh jabatan-jabatan kerajaan Brooke seperti Sarawak Medical and Recreation Club dan Land and Survey Club.
Orang Cina di Sarawak juga tidak ketinggalan dalam hal ini seperti penubuhan persatuan dialek. Ada juga mereka menubuh persatuan sukan seperti Sarawak Badminton Association.
Fenomena ini juga mempengaruhi orang Melayu untuk mengorak langkah sama bagi menubuh beberapa kelab mereka sendiri yang mempunyai fungsi sebagai kelab sukan, muzik dan rekreasi. Penubuhan kelab-kelab ini jelas kelihatan sekitar 1920-an hingga 1930-an.
PENUBUHAN KELAB
Antara kelab yang ditubuhkan adalah Kampung Tanjung Club, Gersik Kesetiaan Jaya Club dan Sarawak Malay Tennis Club. Kelab-kelab ini ditubuhkan di Kuching. Di Miri pula wujudnya Malay Union Club dan Darul Mashurat Club.
Kelab-kelab ini menjadi pusat perjumpaan bagi ahlinya untuk tujuan tertentu yang bersesuaian dengan matlamat penubuhannya. Gersik Kesetiaan Jaya Club sebagai contoh ditubuhkan atas dasar merapatkan hubungan antara ahli dan penduduk kampung menerusi aktiviti sukan.
KEGIATAN
Kelab ini dibawah pimpinan Datu Menteri telah mengadakan beberapa acara sukan pada 1930-an di Bukit Mentri. Salah satu daripadanya adalah penganjuran pertandingan sukan tenis yang diadakan pada 5 Oktober 1935. Mereka telah menjemput Raja dan Rani untuk menghadiri acara sukan tersebut.
Majlis anjuran kelab ini juga dihadiri oleh penduduk dari sekitar kampung di Kuching. Dalam perlawanan tenis tersebut, Mohd. Joblie mengalahkan Ben Jomil untuk menjadi johan acara itu.
Pada 3 Februari 1937, sekali lagi kelab ini telah menganjurkan acara sukan yang melibatkan ahli-ahlinya. Antara sukan yang dianjurkan adalah tenis, badminton, catur dan ping pong. Sukan ini tertumpu kepada golongan dewasa. Bagi acara kanak-kanak pula diadakan sukan lumba lari untuk lelaki dan perempuan. Dalam majlis tersebut, mereka telah menjemput Raja dan Rani untuk merasmi dan menyaksikan acara yang diadakan.
CAWANGAN
Ketika itu, terdapat juga penubuhan cawangan persatuan Tanah Melayu di Sarawak (termasuk Sabah). Persatuan yang dikenali sebagai Persatuan Sahabat Pena (PENA /PASPAM) telah melebarkan sayapnya ke Sarawak pada pertengahan 1930-an. PASPAM yang ditubuhkan pada 1934 di Tanah Melayu mempunyai objektif untuk mengeratkan hubungan antara pencinta bahasa Melayu dan seterusnya mengalakkan penulisan dalam bahasa Melayu.
Pada hari penubuhan cawangan PASPAM Sarawak, telah diadakan mesyuarat pemilihan ahli jawatankuasa tertingginya. Datu Amar Abang Sulaimen dilantik sebagai presiden dalam pemilihan tersebut, manakala timbalannya pula Mohd Zain Malek. Setiausaha adalah Nawawi Haili dengan dibantu oleh Hasbie bin A. Bakar selaku penolong setiausaha. Ahli jawatankuasa yang lain pula adalah Saji Mat Nor, Awg Joini Awg. Meludin dan Taha Baki. Penubuhan persatuan ini menunjukkan wujudnya hubungan antara Sarawak dan Tanah Melayu.
KESEDARAN POLITIK
Di tengah-tengah kemunculan dan perkembangan kelab-kelab ini, orang Melayu khususnya golongan terpelajar mula mempunyai aspirasi lain tentang tujuan penubuhan sesebuah persatuan. Muhammad Rakawi Yusuf salah seorang daripadanya telah mencadangkan diwujudkan sebuah pertubuhan yang dapat memperjuangkan nasib orang Melayu yang ketinggalan dalam pelbagai bidang.
Bagaimanapun, cadangan Rakawi Yusuf ini dipandang negatif dalam kalangan pembesar Melayu tetapi perjuangan ke arah usaha ini diteruskan. Akhirnya kompromi antara orang Melayu tercapai, maka tertubuh Persatuan Melayu Sarawak (PMS) pada 10 Oktober 1939. Ada yang mengatakan bahawa persatuan ini telah wujud lebih awal iaitu pada 1937.
Polemik tarikh ini dikaitkan dengan pendaftaran persatuan tersebut yang masih lagi tidak dapat didaftar akibat daripada tiadanya persetujuan dalam kalangan pemimpin Melayu ketika itu.
Disebalik usaha penubuhan PMS ini, telah ada juga cadangan untuk menubuh Persatuan Bumiputera. Namun demikian, cadangan penubuhan persatuan ini gagal dilaksanakan kerana kekurangan dana.
Oleh itu, usaha diteruskan dengan mewujudkan PMS. Dalam mesyuarat penubuhannya, ahli-ahli persatuan ini bersetuju melantik Datu Patinggi Abang Abdillah sebagai penaung dan Datu Amar Abang Sulaiman sebagai presiden pertamanya.
AKTIVITI
Secara dasarnya, objektif penubuhan PMS adalah untuk menyatukan orang Melayu, memajukan ekonomi, pendidikan, budaya dan bahasa Melayu, memelihara agama Islam dan menjadi penghubung antara orang Melayu dan pihak kerajaan. Penubuhan PMS satu kemajuan dalam usaha membantu meningkatkan taraf kehidupan orang Melayu Sarawak ketika itu.
Untuk tujuan operasi, sebuah bangunan telah dibeli untuk dijadikan ibu pejabat persatuan ini. Dengan sokongan ahli-ahlinya, PMS telah berjaya melangsaikan hutang bank untuk mendirikan ibu pejabat persatuan tersebut. Seterusnya mereka juga telah mendirikan syarikat kerjasama untuk membantu ekonomi orang Melayu.
Daripada aspek agama pula, PMS juga mempunyai hasrat mendirikan sekolah agama bagi penduduk Islam. Usaha mendirikan sekolah agama ini dilakukan dengan mengutip derma daripada ahli-ahlinya. Namun demikian, PMS tidak sempat bergerak lebih aktif kerana Jepun telah menyerang Sarawak. Semasa pendudukan Jepun, PMS telah dihalang daripada bergerak aktif. Hanya selepas perang, PMS kembali aktif dan mula menumpukan soal politik apabila timbulnya isu penyerahan.
Perkembangan kegiatan berorganisasi ini menampakkan perubahan pemikiran orang Melayu daripada mendirikan kelab-kelab bercorak rekreasi dan sukan kepada kesedaran politik dan ekonomi. Perubahan ini menunjukkan kematangan orang Melayu dalam mengerakkan usaha berorganisasi.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).