GARETH Southgate mendesak England untuk menggunakan keperitan kekalahan final Euro 2020 menentang Itali bagi menyemarakkan kejayaan pada masa depan ketika bos Three Lions menerima kekalahan penentuan sepakan penalti memilukan.
England gagal memenangi gelaran utama pertama sejak Piala Dunia 1966 setelah Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka gagal menyempurnakan sepakan penalti di Wembley semalam.
“Itu adalah tanggungjawab saya. Saya memilih pemain untuk mengambil sepakan. Saya memberitahu pemain bahawa tidak ada yang bersendirian dalam situasi itu.
“Ini keputusan saya untuk Saka mengambil sepakan. Itu sepenuhnya tanggungjawab saya. Bukan dia atau Marcus atau Jadon.
“Marcus dan Jadon merupakan yang terbaik dalam melakukan sepakan penalti. Ini adalah pertaruhan (untuk memasukkan mereka), tetapi jika kami memperjudikannya lebih awal, kami mungkin akan kehilangan permainan dalam masa tambahan,” kata Southgate.
England sebenarnya telah memenangi dua penentuan sepakan penalti terakhir iaitu ketika menentang Colombia [ada Piala Dunia 2018 dan menentang Switzerland dalam Liga Negara Eropah 2019.
Bagaimanapun, kejayaan itu tidak cukup untuk membuat pemain Southgate untuk hilang kegentaran mereka ketika pertaruhan berada pada tahap tertinggi.
Jordan Pickford melakukan tugasnya dengan menyelamatkan dua sepakan penalti dan Southgate menegaskan dia tidak menyesal mengenai pilihannya siapa yang mengambil sepakan penalti.
“Kami telah mengesan mereka, apa yang telah mereka lakukan dengan kelab mereka dalam jangka masa yang panjang dan apa yang telah mereka tunjukkan dalam latihan juga.
“Itulah proses yang berjaya bagi kami di Rusia dan Liga Negara Eropah. Malam ini ia tidak berjaya,” katanya.
Southgate mengakui kekurangan ketenangan pasukannya mengawal bola terbukti membawa padah kerana membiarkan Itali menemui semula ketenangan setelah gol pembukaan Shaw.
“Kami bermula dengan baik. Mereka pasti mempunyai tempoh di mana mereka kembali dalam permainan.
“Kami tidak bukup baik mengawal bola di peringkat awal pada babak kedua. Kekurangan ketenangan kami mengubah permainan. Cara mereka menggunakan bola lebih baik berbanding kami,” ujar Southgate.
Three Lions kini memiliki aksi Piala Dunia 2022 di Qatar dan Southgate percaya bahawa mereka akan lebih baik setelah pengalaman dalam Euro mereka.
“Buat masa ini para pemain benar-benar hampa. Putera William baru saja melihat mereka di bilik persalinan dan berterima kasih kepada mereka atas apa yang telah mereka lakukan dan memuji mereka.
“Saya kata kita tidak boleh melakukan pertikaian. Kita menang dan kalah bersama. Mereka harus pergi dari sini dengan merasa bangga.
“Mereka telah melakukan lebih banyak daripada pasukan lain dalam 50 tahun kebelakangan ini. Daripada segi pemain, mereka harus sangat bangga dengan apa yang telah mereka lakukan,” tegasnya lagi.- AFP