Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kedudukan Sarawak dalam isu Petronas-Petros berlandaskan kuasa perlembagaan, DGO 2016
  • SEMASA

Kedudukan Sarawak dalam isu Petronas-Petros berlandaskan kuasa perlembagaan, DGO 2016

Utusan Sarawak 2 days ago
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR: Kedudukan Sarawak dalam isu melibatkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) adalah berlandaskan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan serta Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016 yang sah digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Dorris Sophia Brodie berkata, bidang kuasa Sarawak dalam perkara ini tertumpu kepada aktiviti pengagihan gas yang ditadbir sepenuhnya melalui ordinan tersebut tanpa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Melalui the Borneo States [Legislative Powers] Order, 1963 kuasa perundangan Sarawak telah diperluaskan untuk merangkumi bidang elektrik dan pengagihan gas.

“Ini selaras dengan syor dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962, khususnya pada perkara 11 (c) dalam Lampiran (Annex) A yang menegaskan bahawa kuasa perundangan berkaitan tenaga elektrik dan pengagihan gas hendaklah diturunkan kepada Sarawak dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa sesi Dewan Rakyat bagi memberikan penjelasan terhadap kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berhubung isu berkenaan di sini, hari ini.

Dato Sri Dorris menjelaskan, pengecualian telah diberikan melalui Pemberitahuan Pengecualian (Pindaan) 2021 yang ditandatangani oleh Perdana Menteri bagi memastikan Sarawak mempunyai kawalan penuh dari segi perundangan dan pentadbiran ke atas aktiviti pengagihan gas serta bagi mengelakkan situasi di mana terdapat keperluan pihak industri minyak di Sarawak memohon dua lesen berbeza di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan DGO 2016.

“Melalui pengecualian ini, aktiviti pemasaran dan pengagihan gas asli serta gas petroleum cecair di Sarawak dikecualikan daripada keperluan Seksyen 6(1) dan (3) di bawah PDA 1974 (PDA).

“Apabila undang-undang Persekutuan mengenai pengagihan gas tidak lagi terpakai di Sarawak, maka hanya wujud DGO 2016 sebagai satu-satunya undang-undang yang berkuatkuasa di Sarawak bagi mengawal selia bekalan dan pengedaran gas.

“Sebab itulah perlu ditekankan disini bahawa Ordinan Pengagihan Gas dan pelantikan Petros sebagai pengagregat gas tidak bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 kerana Sarawak telah pun dikecualikan daripada peruntukan yang berkenaan,” jelasnya.

Dato Sri Dorris menegaskan bahawa ordinan tersebut bukan sahaja sah, malah tidak pernah dibatalkan oleh mana-mana Mahkamah di Malaysia dan mempunyai anggapan bahawa sesuatu undang-undang adalah berperlembagaan.

Beliau turut menggesa semua pihak agar menghormati semangat federalisme sebagaimana yang termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, yang memperincikan pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri.

Tambah beliau, Sarawak sentiasa menghormati dan mematuhi Perlembagaan, malah semua undang-undang negeri digubal dalam lingkungan kuasa yang sah.

Namun, beliau menegaskan masih terdapat pihak yang beroperasi tanpa mematuhi keperluan pelesenan negeri seperti yang ditetapkan di bawah DGO 2016.

Mengulas lanjut, beliau menolak dakwaan bahawa isu Petronas-Petros merupakan ‘pertarungan adik-beradik’, sebaliknya ia adalah soal pelaksanaan kuasa di bawah undang-undang yang sah.

“Petronas beroperasi di bawah PDA 1974, manakala Petros ditubuhkan di bawah DGO 2016 yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di bawah bidang kuasa perlembagaannya,” tegasnya.

Menurutnya lagi, Sarawak tidak pernah berniat untuk menjejaskan kedudukan Petronas, sebaliknya mahu memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua entiti bagi membangunkan industri minyak dan gas di Sarawak secara mampan dan berfaedah kepada rakyat serta negara.

“Petros bukan pesaing kepada Petronas, Petros adalah rakan strategik yang ingin memastikan operasi minyak dan gas di Sarawak dijalankan dengan cara yang lebih mampan, telus dan berpaksikan manfaat kepada rakyat Sarawak tanpa menjejaskan kepentingan Negara,” katanya.

Dalam pada itu, Dato Sri Dorris menegaskan bahawa Sarawak kekal komited mempertahankan hak-hak negeri yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan.

“Sarawak tidak pernah menolak semangat nasional. Kita tetap menyumbang kepada Malaysia melalui hasil petroleum, tenaga, dan ekonomi.

“Namun Sarawak berhak menegakkan haknya untuk mengurus sumber dalam sempadan negeri, selaras dengan Perlembagaan dan semangat MA63. Oleh itu, saya menyeru agar isu ini dilihat bukan dari sudut pertentangan, tetapi sebagai peluang untuk mengukuhkan kerjasama strategik antara Petronas dan Petros.

“Dengan cara ini, kita bukan sahaja memelihara kepentingan negeri dan rakyat Sarawak, tetapi juga memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar tenaga yang stabil dan berdaya saing,” ujarnya lagi.

-UKAS

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Majlis Makan Malam Gala GTM 2025 bukan acara rasmi kerajaan – Tiong
Next: Premier Sarawak terima kunjungan hormat Panglima Armada Timur TLDM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.