
ROBAN: Kediaman Affizie Afendi muncul sebagai johan dalam pertandingan keceriaan sempena sambutan Aidilfitri peringkat Kampung Melayu Roban pada tahun ini.
Kejayaan itu menyaksikan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM500, manakala naib johan jatuh kepada kediaman Musa Uin dan membawa pulang hadiah wang tunai RM400 dan tempat ketiga pula kediaman Abdullah Mudin dan membawa pulang hadiah wang tunai RM200.
Sementara itu, tempat keempat pula kediaman Mustafar Eli (RM150) dan kediaman ditempat kelima hingga ke-10 masing masingnya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100 setiap seorang.
Bagi pertandingna karaoke raya pula telah dimenangi oleh Abang Busrain di tempat pertama, Amirullah di tempat kedua dan Saemah Mohidi di tempat ketiga.
Turut disampaikan hadiah kepada para pemenang adalah pertandingan hafazan surah al-Fatihah lelaki tahap satu iaitu berumur tujuh hingga sembilan tahun, pertandingan hafazan Surah al Fatihah tahap satu perempuan tujuh hingga sembilan tahun.
Turut disampaikan hadiah pemenang pertandingan hafazan surah al-Fatihah tahap dua lelaki 10 hingga 12 tahun, pertandingan hafazan surah al-Fatihah tahap dua perempuan 10 hingga 12 tahun dan keputusan pertandingan hafazan Surah Lazim.
Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri semasa hadir pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Roban, semalam.
Dalam pada itu, pertandingan tersebut telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu Roban dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka serta Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Melayu Roban.
Turut hadir, Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Sharee, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas, dan Timbalan Ketua Cawangan PBB Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi.
Oleh Adi Safarman