Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Kedatangan Ramadan, rahmat yang dinanti 
  • RENCANA

Kedatangan Ramadan, rahmat yang dinanti 

Utusan Sarawak 14 hours ago
UMAT Islam menunaikan Solat Sunat Tarawih pada malam pertama Ramadan 1447H di Masjid Putra baru-baru ini. Suasana penuh kesyahduan itu menandakan ketibaan bulan mulia, umat Islam di seluruh negara akan memulakan ibadah puasa, Foto BERNAMA

KEDATANGAN Ramadan sememangnya dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh pelosok dunia kerana mengetahui kelebihan yang terdapat pada Ramadan.

Sudah pastinya orang beriman tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan ganjaran pahala pada bulan tersebut. Lantaran itu, amatlah rugi bagi mereka yang tidak merebut peluang keemasan di bulan yang penuh dengan keberkatan.

Ramadan adalah bulan rahmat yang tidak ada pada bulan lain. Pintu syurga dibuka serta ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan dirantai.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepadamu Ramadan (dengan kelebihan yang lain): Bulan penuh keberkatan, Allah SWT memfardukan puasa atas kamu, dibuka pintu Syurga, dikunci pintu neraka, dibelenggu Syaitan (supaya tidak menggangu umat Muhammad SAW dari melakukan pelbagai ibadat), di dalam ada malam Lailatulqadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang diberikan kebajikan malam itu maka sesungguhnya dia tidak diberikan kebajikan kepadanya.”  (hadis riwayat Nasai’e) 

Oleh kerana itu, diwajibkan bagi orang yang beriman untuk berpuasa. Bertetapan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” 

BULAN MEMPERBANYAKAN SEDEKAH

Allah SWT telah menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk orang beriman berlumba-lumba memperbanyak melakukan amalan bersedekah.

Sepertimana Rasulullah SAW tidak sesekali melepaskan peluang untuk bersedekah pada Ramadan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari: “Adalah Nabi seorang yang paling pemurah pada Ramadan.” 

Rasulullah SAW sangat menekankan untuk kita perbanyakan amalan bersedekah khususnya pada Ramadan kerana ganjarannya sangat hebat.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.” (at-Tirmizi) 

Allah SWT memberikan sebuah perumpamaan bagi orang yang suka bersedekah, firman-Nya yang bermaksud: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah SWT adalah seumpama sebutir benih yang menumbuhkan tuju tangkai, pada setiap tangkai seratus biji. Allah SWT melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (surah al-Baqarah ayat 261) 

BULAN KEAMPUNAN 

Ramadan jua dikenali sebagai bulan Maghfirah (bulan keampunan) yang mana pintu taubat dibuka seluas-luasnya. Namun demikian, ia bukanlah bermaksud pintu taubat tidak diterima Allah SWT pada bulan lain. Akan tetapi ia amat istimewa pada Ramadan yang tidak ditawarkan pada bulan-bulan yang lain.

Sepertimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Siapa yang berpuasa pada Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah SWT, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Muttafaqun Alaih)

Lantaran itu bagi memperoleh keampunan Allah SWT, kita perlu berusaha sebaik mungkin dan bukan hanya sekadar menyerahkan segalanya kepada takdir. Orang-orang yang beriman harus mencari jalan untuk memastikan dirinya mendapat keampunan daripada Allah SWT. 

Oleh itu, Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang besar menanti hamba-Nya yang berjaya melaksanakan ibadah puasa dengan baik. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dalam syurga ada sebuah pintu yang disebut dengan ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan memasuki pintu tersebut pada hari Kiamat, tidak ada selain daripada mereka akan memasukinya. Jika orang terakhir yang berpuasa telah masuk dalam pintu tersebut, maka pintu tersebut akan tertutup.” (Muttafaq Alaih)

Sahabat yang pemurah dan jujur

Para sahabat Rasulullah SAW merupakan golongan yang ajaib. Mereka yang kaya raya dalam kalangan sahabat Nabi semuanya bersifat pemurah.

Mereka mengutamakan sedekah dalam kehidupan mereka. Kekayaan mereka itu menjadi jambatan buat mereka melipat gandakan pahala mereka.

Apabila bersedekah, mereka berasa tidak takut langsung akan kehilangan harta mereka. Namun begitu, amalan sedekah mereka itu menjadikan mereka semakin kaya di dunia, apatah lagi di akhirat.

Ya’qub bin Sufyan, Abu Nu’aim dan Ibnu Asakir telan meriwayatkan dari Said bin Abdul Aziz bahawa Zubair bin Awwam memiliki seribu orang pekerja yang mengelolakan tanah-tanahnya.

Tidak ada satu pun dari hasil tanah-tanahnya itu yang masuk ke rumahnya. Semuanya disedekahkan kepada orang lain. Di dalam kitab Ar Riyadh An Nadhrah pula diceritakan bahawa Zubair bin Awwam telah mengirimkan dua uncang wang yang bernilai 180,000 dirham kepada Ummul Mukminin Saidatina Aisyah.

Zubair bin Awwam juga sangat dikenali sebagai seorang yang jujur dan amanah. Sehinggakan ramai orang mengamanahkan harta mereka untuk dijaga dan diniagakan oleh Zubair bin Awwam.

Bahkan Saidina Umar sendiri menyarankan kepada orang ramai agar mereka mengamanahkan harta mereka kepada Zubair sekiranya mereka memerlukan khidmat pemegang amanah.

Ramai dari kalangan sahabat yang melantik Zubair bin Awwam sebagai pemegang amanah harta- harta mereka. Setelah mereka meninggal dunia, Zubair bin Awwam menguruskan harta-harta tersebut dengan penuh amanah sekali.

Beliau telah menguruskan pemberian nafkah kepada waris para sahabat tersebut. Dengan sikap jujurnya itu, Allah SWT telah melimpahkan harta kekayaan kepada beliau.

Ibnu Asakir telah meriwayatkan dari Hisyam bin Urwah, beliau berkata, “Tujuh orang dari sahabat Rasulullah SAW telah berwasiat kepada Zubair. Di antara mereka ialah Uthman, Miqdad, Abdur Rahman bin Auf dan Abdullah Ibnu Mas’ud. Zubair menjaga harta wasiat mereka dan beliau memberikan nafkah kepada anak- anak mereka dari hartanya sendiri.”

Yaqub bin Sufyan, At Tabrani dan al Baihaqi meriwayatkan dari Saidina Umar bin al Khattab, beliau berkata, “Jika aku ingin meninggalkan sesuatu harta warisan atau menitipkan sesuatu titipan kepada seseorang, nescaya akan aku titipkan harta tersebut kepada Zubair bin Awwam. Sesungguhnya dia adalah salah seorang pembela agama!”.

Oleh Hanzalah Azman

Tags: RENCANA

Continue Reading

Previous: Gunting rambut pesakit, ‘saham akhirat’ buat Ezuan Husaini
Next: Ramadan datang lagi: Nikmat yang sering terlupa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.