KUCHING: Dengan sinar lampu tanglung merah yang berkilauan menerangi jalanan dan keluarga berkumpul untuk meraikan Tahun Baharu Cina (TBC), suasana perayaan semakin meriah.
Tarian naga yang penuh warna-warni dan aroma ladu yang segar mengisi udara, menyambut kedatangan Tahun Ular yang penuh makna.
Bagi ramai orang, TBC bukan sekadar satu perayaan, tetapi juga satu kesempatan untuk merenung dan merancang impian serta harapan bagi tahun yang baharu.

Victor Chong Ching Tze, 29, seorang eksekutif pemasaran, melihat tahun ini sebagai peluang emas untuk mengembangkan potensi dirinya dalam dunia profesional.
“Tahun Ular ini, saya bertekad untuk terus berusaha tanpa henti. Saya juga ingin mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada semua rakan dan kenalan, semoga kita semua berjaya dalam apa jua yang kita usahakan,” ujarnya dengan penuh keyakinan.

Bagi Jansen Tay Hsien Loong, 22, seorang pelajar universiti, sambutan TBC ini lebih daripada sekadar meraikan tahun baharu. Bagi beliau, ini adalah masa yang paling berharga untuk menghabiskan waktu bersama keluarga tercinta.
“Saya juga berharap agar Dewa Kekayaan melimpahkan tuah kepada kita semua sepanjang tahun ini dan mempermudahkan segala urusan yang kita hadapi,” kata Jansen dengan penuh harapan.

Adele Rissa, 27, seorang pekerja di sebuah kedai pakaian, berharap untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan serta mencapai kejayaan berterusan dalam kerjayanya.
“Bekerja dalam sektor runcit, saya merasa sangat teruja dapat membantu pelanggan yang datang untuk menyambut TBC. Senyuman di wajah pelanggan ketika mereka menemui pakaian yang tepat untuk perayaan ini adalah kepuasan yang tidak terhingga,” kata Adele.

Maggie Law, 62, seorang suri rumah tangga, dengan penuh kegembiraan berkongsi pengalaman bagaimana sambutan TBC kali ini terasa lebih bermakna apabila keluarga mereka disambut dengan ahli baharu. Anak lelakinya baharu sahaja mendirikan rumah tangga, dan perkahwinan itu membawa kegembiraan tambahan kepada keluarga mereka.
“Saya mendoakan agar semua diberkati dengan keberuntungan dan kesihatan yang baik di Tahun Ular ini,” katanya dengan penuh kasih sayang.

Bagi Kelvin Dian, 25, seorang guru tuisyen, sambutan tahun ini memberi makna yang mendalam kerana akhirnya dapat meraikannya bersama keluarga tercinta setelah tiga tahun terhalang akibat kekangan pembelajaran.
“Sesuai dengan ucapan dalam bahasa Cina, (she nian ji xiang) yang bermaksud ‘Semoga diberkati dengan keberuntungan dan keselamatan di Tahun Ular’, saya berharap perayaan ini membawa sinar baru, rezeki yang melimpah, dan kebahagiaan kepada semua,” kata Kelvin.

Menurut Bradley Chin, 27, seorang eksekutif pembangunan perniagaan, beliau berharap agar Tahun Ular ini memberi rahmat kepada semua dengan kesihatan yang baik, kebahagiaan, dan kekuatan untuk menghadapi segala cabaran yang mendatang.
“Selamat Tahun Baharu Cina! Saya mengucapkan selamat datang kepada Tahun Ular yang penuh dengan kemakmuran, keberuntungan, kesihatan, dan kebahagiaan. Marilah kita sambut permulaan baru ini dengan hati yang terbuka kepada segala peluang yang menanti,” ujarnya.
Harapan-harapan ini melambangkan keinginan bersama untuk tahun yang lebih baik. Dengan semangat perayaan yang menggebu, rakyat Malaysia menyambut TBC dengan doa dan harapan agar kedamaian, kemakmuran, dan kejayaan terus menyinari perjalanan hidup mereka di tahun yang baharu.
Oleh Amanda L.