Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Kedalaman Sesebuah Naskhah
  • WBS

Kedalaman Sesebuah Naskhah

Utusan Sarawak 8 hours ago

‘‘Tidak ada cara yang menarik untuk mengatakan ini. Fakta adalah bahagian paling keras dan sukar dalam hidup. Demikian, fakta tidak boleh diubah, bawakan kenyataannya secara urutan dan logik.’’ – Yiyun Li.

CERPEN, dengan keterbatasan saiz dan kedudukan khasnya berbanding novel, sepatutnya menjadi ruang seseorang penulis untuk bereksperimen dan meluaskan skop sesebuah cerita.

Karyawan dialu-alukan dan dicabar untuk meneroka sempadan imaginasi dan melampaui had kemahiran teknikal mereka. Jangan mengehadkan standard kreativiti.

Sesebuah cerpen menjadi igauan para pembaca kerana kedalaman dan keindahan penceritaan, walaupun tema yang diangkat hanyalah hal biasa. Kedalaman, itu kata kuncinya. Jelas, tema bukan ukuran wajib menentukan kehebatan sesebuah karya.

Demikian pula banyak naskhah yang dihasilkan namun gagal mencengkam perhatian jiwa, emosi dan fikiran pembaca kerana kedangkalan naratifnya. Terlalu mudah dan biasa. Mengapa?

Fiksyen adalah tentang seni menulis dan untuk jiwa manusia. Tanpa sentuhan khusus itu, pengarang dan naskhah itu tidak memiliki apa-apa keistimewaan. Kekuatan sesebuah cerpen selalunya meliputi keseluruhan elemen, plot, konflik dan penceritaannya dengan perspektif berbeza.

Ia instrumental asas. Sudut pandangan yang berbeza membolehkan seseorang pengarang menggerakkan pembaca dengan cara berbeza (daripada kelaziman). Jalinan plot dan cerita serta peristiwa disusun dengan teliti dan kemudian disimpulkan dengan cara yang tidak diduga.

Mengarang karya kreatif juga adalah tentang kemahiran manipulasi. Itu mungkin kedengaran agak sadis, tetapi memang dituntut dalam urusan kesenian. Semakin luar biasa sesebuah karya itu, maka, semakin tinggilah kemahiran manipulatif diterapkan pengarang untuk karya kreatif. Sebagaimana hidup, ia tidak datang lurus dan mengikut barisan.

Peranan penulis adalah untuk memanfaatkan emosi pembaca dan memutarbelitkan jangkaan. Ia pekerjaan seni. Sesebuah cerita akan ketara klise dan mendatar.

Demikian juga sesebuah cerita itu sukar diteka kerana kelincahan olahan pengarang. Itu hak dan kebebasan seseorang pengarang. Naskhah itu milik mereka. Terpulanglah kepada seseorang karyawan untuk menangani cerita dan naratifnya.

Lapis demi lapis. Namun, ia bergantung kepada kekuatan bakat dan imaginasinya. Emosi pembaca menjadi tumpuan khusus pengarang ketika mengerjakan karya kreatif.

Tanpa sentuhan emosi, maka, sudah tentu karya yang dipersembahkan kurang hidup dan kurang memancing pelibatan emosi pembaca. Aspek itu amat penting jika mahukan pembaca turut bersama-sama merasai gejolak emosi para watak.

Membaca naskhah “Bagaimana Basri Ditemui Mati di Rumahnya Sendiri”, karya Firdaus Dahlan, sepertinya mencadangkan sebuah naratif misteri, penyiasatan atau sekurang-kurangnya mengheret emosi pembaca dengan suatu pengalaman yang unik, personal, intim dan mendalam.

Namun, itu bukan tujuan pengarang naskhah. Pengarang ingin menyelak tabir permasalahan sebuah keluarga. Ruang yang tertutup dan tersorok dalam jiwa, kemudiannya dibuka seiring dengan insiden utama yang berlaku dalam naskhah. Itu motif utamanya.

Barangkali itulah inspirasi utama naskhah itu diciptakan. Apabila watak Basri meninggal dunia, barulah dunia yang sebelum ini samar-samar, diperlihatkan liku-liku rahsianya. Segala-galanya bukan tentang Basri sahaja, tetapi tentang semua ahli keluarga itu.

Sepenting apakah Basri, watak utama yang menjadi tumpuan pembinaan naskhah ini? Pada perenggan pembukaan, dimaklumkan bahawa Basri bukan semata-mata seorang suami/bapa, tetapi juga individu yang menjadi ikutan oleh pengunjung di media sosial. Jadi, sudah tentu kematian Basri meninggalkan impak.

Dengan cara yang tersendiri, pengarang membuka kotak pandora berhubung kepentingan Basri kepada ahli keluarganya. Karakter Basri, Lara, Manja dan Aboy gambaran ringkas situasi yang berlaku dalam kehidupan sebuah keluarga masa kini.

Tertutup, menjaga jarak dan masing-masing membawa hal sendiri. Tatkala insiden tertentu, misalnya kematian, berlaku yang melibatkan setiap ahli keluarga, barulah masing-masing duduk meluahkan beban emosi.

Sebuah cerita tentang kematian kebiasaannya mengundang rasa simpati. Seorang individu popular di media sosial. Bagaimanakah kematian itu berlaku? Apakah faktor-faktornya? Ia pasti menarik dan mendebarkan serta tegang.

Emosi menjadi taruhan. Setelah sampai ke penghujung naskhah, elemen-elemen yang dibayangkan itu berkecai dan akhirnya kesan emosi, malangnya tidak kesampaian sebagaimana dijangkakan berdasarkan ambiguiti pada tajuk.

Hal yang sedemikian, sedikit sebanyak melemahkan struktur naskhah. Sungguhpun pengarang cuba menautkan beberapa insiden yang melibatkan anak dan isteri, tentang krisis dan konflik di sebalik kematian Basri, ia belum cukup ampuh untuk menjadikan naskhah itu membekas dalam jiwa.

Menggunakan teknik sudut pandangan orang ketiga, narator memasuki relung-relung cerita. Menarik pendekatan sedemikian. Basri, suami kepada Lara. Aboy, anak bongsu lelaki mereka, merupakan saksi pertama yang menemui ayahnya, Basri, terbaring dengan kepala berlumuran darah di hujung tangga di dalam rumah sendiri.

Sepertinya, Basri tergelincir lalu terhantuk pada bahagian keras hingga berlumuran darah di kepalanya. Dramatik. Insiden sedemikian pasti mendatangkan kecurigaan. Benarkah kematian Basri akibat jatuh dari tangga? Dalam keadaan berlumuran darah? Adakah berlaku pergelutan? Adakah berlaku pencerobohan daripada pihak luar?

Namun, ia lapisan pertama tentang Basri. Manusia sesungguhnya kompleks. Ada rahsia yang selama ini dikunci Basri daripada pengetahuan ahli keluarganya akan terbongkar di akhir cerita.

Rahsia itu cuba dilindungi sehingga ke akhir hayatnya. Lara segera memeriksa denyut nadi Basri, juga disaksikan oleh Manja, anak perempuan yang baru sahaja sampai ke rumah.

Dapat dibayangkan suasana pada detik ahli keluarga itu menemui keadaan bapa mereka yang terlentang tidak bernyawa di hujung tangga.

Cemas, panik dan kaku. Tangisan pilu pasti membasahi pipi masing-masing. Hal yang dibimbangkan, telah berlaku. Sudah terputus rezeki lelaki itu di dunia. Lara harus mengakui, Basri meninggal dunia di lokasi kejadian.

Namun timbul masalah lain pula. Populariti yang dimiliki oleh Basri di media sosial, memungkinkan kematiannya dipersoalkan para pelawat media sosial. Basri dikenali sebagai seorang suami yang rajin memasak pada hujung minggu.

Isterinya dilarang mengganggu sewaktu menyediakan makanan di dapur. Basri mahukan isterinya berehat buat seketika. Giliran Basri pula untuk memasak. Kecuali, Manja. Manja diberi keistimewaan membantu ayahnya.

Pada kesempatan itu, Lara memuat naik video rutin kehidupan mereka sekeluarga ke TikTok. Pengalaman manis yang akan menjadi memori pada suatu masa nanti. Ia sudah menjadi budaya popular dalam kehidupan masa kini.

Tidak dijangka, video dirakam Lara meraih perhatian para penonton yang mengagumi mereka, terutama Basri. Basri mendapat pujian daripada pengikut akaun TikTok. Suami mithali. Maka, sudah tentu timbul spekulasi liar setelah Lara tidak lagi memuat naik video terbaharu sebagai tontonan.

Lara, isteri Basri dianggap sebagai suspek utama kematian Basri. Ia suatu tuduhan yang tidak berasas dan membebankan lagi perasaan Lara. Dan sudah tentu keluarga itu dijadikan bahan cacian.

Netizen sangat berlebih-lebihan dalam urusan rumah tangga orang lain. Apa-apa yang terpapar dalam akhbar dan media sosial belum sepenuhnya benar. Manusia membuat andaian secara emosional, seolah-olah berada di tempat kejadian.

Manakala Aboy yang menyimpan sekelumit depresi kerana gagal untuk menghadiahkan pingat emas sebagai hadiah buat ayahnya pada hari jadi.

Anak muda itu sedang dalam proses membijaksanakan sikap dan pemikiran. Ia fasa yang rumit, kabur dan serba menyakitkan jika dibiarkan tanpa bimbingan orang dewasa.

Kekecewaan dan kesedihan itu menjadikan hubungan antara Aboy dengan ayahnya mula retak dan terpisah. Bertambahlah lagi setelah kematian ayahnya.

Pada babak pascakematian Basri, ketiga-tiga ahli keluarga mencurahkan isi hati yang terbuku selama ini di meja makan. Pengarang naskhah menggambarkan kehancuran emosi penghuni di dalam rumah itu.

Termangu dan termenung di depan makanan. Selera makan terjejas. Kegembiraan pudar di wajah masing-masing. Manja, Aboy dan Lara harus memulai rutin hidup harian mereka tanpa kehadiran Basri.

 Janggal, namun kenyataan itu mesti diterima kerana segala-galanya atas kehendak Allah. Manja berusaha untuk membangkitkan semula moral dan semangat adik lelaki dan emaknya.

Aboy masih terperangkap dengan trauma ketiadaan ayahnya. Terlalu sukar dan pedih untuk dilupakan dalam sekelip mata. Maka, sebagai kakak, Manja tidak mahu Aboy dan ibu terus larut dalam kedukaan.

Aboy yang berasa terpukul kerana kehilangan ayahnya, tidak semena-mena mendedahkan kegalauan isi hatinya.

Harapan untuk menyumbangkan pingat emas dalam kejohanan badminton tidak kesampaian. Sungguh besar impian Aboy untuk menghadiahkan pingat emas sempena hari jadi ayahnya.

Aboy ingin membuktikan kebolehan sebagai seorang anak lelaki yang berpotensi di depan ayahnya. Malangnya, apa-apa yang dirancang, tidak semuanya terlaksana.

Hakikat itu belum lagi dimengerti oleh Aboy. Dia belum lagi dapat memahami sesuatu yang di luar batasan fikiran remajanya. Sukan yang diminati kini dibenci Aboy. Ia bagaikan suatu protes dalaman melepaskan rasa geram dan marahnya. 

Dalam masa yang sama, Aboy turut menceritakan pertelingkahan emak dan ayahnya yang didengarnya. Aboy secara tidak sengaja mendengar emaknya meninggikan suara.

Apa-apa yang diceritakan Aboy benar-benar mengejutkan Lara. Sebagai seorang emak, Lara sepertinya mengabaikan keadaan anak lelakinya yang bersendirian mengharungi kemelut emosi.

Tiada kepekaan. Sepatutnya wujud perbincangan terbuka sesama mereka dalam apa-apa juga isu. Perkembangan emosi remaja zaman sekarang sangat kompleks dan menakutkan.

Teknologi serba canggih kadang-kadang menjadi pintu gerbang yang bakal memusnahkan anak muda. Apatah lagi buat mereka yang belum stabil mengurus emosi dan kewarasan fikiran.

Demikian juga ketika dia hilang kawalan sehingga tergamak mengeraskan suara di hadapan suami. Lara merasa tindakan suaminya, Basri, menyembunyikan tentang penyakitnya adalah suatu yang tidak boleh diterima.

Sebagai isteri, dia perlu diberitahu tentang status kesihatan suaminya. Tetapi Basri tidak mahu dirinya menyusahkan ahli keluarga. Biarlah hal itu ditutup daripada pengetahuan anak dan isterinya.

Lara berasa terkilan, marah dan berasa seperti tidak dihargai. Kenapa perlu berahsia? Isu kesihatan bukan perkara yang boleh dibawa main-main. Tambahan sebagai seorang ketua rumah, Basri wajar berkongsi setiap masalah kepada isterinya.

Siapakah menjangka pertengkaran sedemikian didengari anak lelakinya? Bagi Aboy, hal-hal sedemikian tentu mendatangkan pelbagai kemungkinan negatif tentang dirinya sebagai seorang isteri dan emak.

Kesimpulan rangkaian emosi yang berbelitan dalam naskhah diredamkan. Basri disahkan menghidap tumor otak. Ditakdirkan dia meninggal akibat terjatuh dari tangga.

Jadi, demikian kehidupan diatur oleh Allah. Tiada sesiapa yang perlu bersalah dan disalahkan. Spekulasi liar daripada netizen tidak berasas sama sekali.

Ketiga-tiganya sedar bahawa sebagai makhluk, setiap daripada mereka memiliki kelemahan. Ayah sudah tiada, ketiga-tiganya harus bersatu hati dan saling bertimbang rasa dalam keluarga.

Kematian Basri telah merungkai ikatan emosi yang terpendam dalam jiwa Lara dan Aboy. Manja pasti turut berasa ketiadaan ayahnya. Namun, andai semuanya terus terbenam dibawa emosi, keadaan akan menjadi lebih parah.

Firdaus Dahlan sebagai pengarang naskhah “Bagaimana Basri Ditemui Mati di Rumahnya Sendiri”, secara tidak langsung menceritakan permasalahan domestik secara berlapisan.

Perkara yang berlaku di balik tirai menjadi subjek tumpuan. Sudah terbukti, sandiwara dan lakonan berlebihan yang dipertunjukkan dalam media sosial, sebahagiannya hanyalah kepura-puraan.

Umpama dekorasi bunga yang menghiasi lobi hotel. Diperbuat daripada gubahan plastik. Juga, keluarga yang tampak ideal, bukanlah seluruhnya tanpa cacat cela. Ia ibarat setitik air yang kelihatan di tengah padang gurun.

Manusia melindungi masalah utama di balik topeng wajah dipakai. Kadang-kadang, apa yang sebenarnya, dipertontonkan apabila datang masanya.

Bagai mengupas kulit bawang, setiap watak menceritakan masalah dari sudut perasaan masing-masing. Rahsia bukan lagi rahsia. Hal yang terselubung selama ini, terkuak perlahan-lahan.

Fakta dan emosi bergabung lalu membentuk naratif. Dengan menggunakan sudut pandang ketiga, narator menyelongkar emosi ketiga-tiga watak setelah kematian Basri.

Ditekan aneka rasa yang bercampur-baur, pengarang cuba menyelami dunia dalaman para wataknya. Kematian Basri sudah pun diketahui, namun yang mustahak, kehidupan mesti diteruskan.

Walaupun terbatas gambaran perwatakannya, pengarang sedar cerita demikian wajar disampaikan dengan pendekatan yang sedikit berlainan. Ia percubaan kreatif, mengingatkan saya dengan novel As I Dying tulisan William Faulkner.

Tema dalam naskhah ini berkaitan keutuhan emosi dan keharmonian keluarga. Ia tema biasa dan bukan pula asing dalam ranah kesusasteraan.

Walaupun disampaikan dengan sederhana, mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang boleh dibaca, dimengerti dan difahami. Daripada dapatan capaian internet, jelas tumor otak bukan penyakit kecil. Ia merosakkan tisu sihat dan meningkatkan tekanan dalam tengkorak, menyebabkan sakit kepala, sawan, perubahan personaliti dan kelemahan badan. 

Apakah ada kemungkinan Basri terjatuh akibat fizikalnya kian melemah? Malahan sakit kepalanya juga berpotensi menjadikannya dirinya linglung, lalu tergelincir semasa menuruni anak tangga?

Pengarang masih dilihat belum lagi berani dan berkemampuan untuk mengeksplorasi struktur penceritaan dengan meyakinkan. Tidak mengapa. Ia hal biasa buat pengarang baharu. Yang utama, terus belajar dan belajar untuk memantapkan teknik penulisan.

Oleh Roslan Jomel

Continue Reading

Previous: Antara Bayang Kata dan Kabur Makna

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.