
SIBU: Sebuah kedai serbaneka di Jalan Tapang Timur di sini mengalami kerosakan kira-kira 30 peratus selepas premis itu terbakar, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.55 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dengan bantuan BBP Sibu Sentral kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran melibatkan bangunan kedai tiga tingkat dan api dipercayai bermula di aras bawah premis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan air di bahagian hadapan premis serta satu lagi aliran 200 kaki di bahagian belakang kedai.
Keluasan anggaran kedai yang terbakar ialah 15×20 kaki persegi dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Oleh Tarani Lanting