KUCHING : Semalam menyaksikan pembukaan semula operasi perniagaan bagi sektor ekonomi di negeri ini di bawah arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Tinjauan Utusan Sarawak ke beberapa restoran dan kedai makan mendapati orang ramai mula berkunjung ke premis itu selepas sekian lama tidak duduk menikmati makanan dan minuman di kedai.
Rata-rata pelanggan kelihatan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan hanya duduk seorang atau dua orang sahaja untuk sebuah meja.
Pengusaha restoran dan kedai makan juga menjarakkan susunan meja dan kerusi di premis masing-masing.
Salah seorang pelanggan yang ditemui semalam yang hanya mahu dikenali sebagai Chin berkata, beliau berasa lega kerana selepas 55 hari akhirnya beliau dapat menikmati segelas kopi panas di kedai makan kegemarannya.
Sebagai seorang warga emas yang tidak lagi bekerja, adalah menjadi rutin hariannya untuk meluangkan masa duduk di kedai makan bagi menghilangkan kebosanan di rumah.
“Minum kopi d rumah sangat berbeza suasananya dengan di kedai dan hanya warga emas seperti saya ini yang faham bagaimana perbezaan itu.
“Saya bersyukur kerana keadaan sudah beransur baik dan kedai makan sudah dibenarkan beroperasi walaupun tidak padat seperti sebelumnya,” katanya.
Menurut Chin, sebagai warga emas yang berisiko dan terdedah kepada wabak Covid-19, beliau mengamalkan pemakaian penutup mulut dan hidung serta menggunakan cecair pensanitasi.
Beliau juga katanya mengamalkan kebersihan diri dengan terus mandi dan membasuh pakaian sebaik tiba di rumah dan mengelak bersentuhan dengan orang lain.
Sementara itu, pengusaha sebuah gerai mi kolok, Anita Mohd berkata, masih ramai pelanggannya yang memilih untuk membungkus dan membawa pulang makanan daripada duduk di gerai.
“Sekarang bulan Ramadan dan pelanggan yang beragama Islam memang hanya membeli secara bungkus dan bawa pulang sahaja.
“Namun, pelanggan yang bukan Islam juga saya lihat lebih banyak memilih untuk membungkus dan membawa pulang,” katanya.
Tambahnya, anggota masyarakat masih sedar bahawa wabak ini masih ada di persekitaran kita dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk tidak berada di tempat awam walaupun sudah dibenarkan.
Hasil tinjauan ini menunjukkan bahawa, pilihan untuk keluar dan berada di kawasan awam adalah di tangan anggota masyarakat sendiri.
Ada yang mengambil peluang untuk keluar daripada rumah selepas lama ‘terkurung’ dan ada yang mengambil pendekatan untuk tetap mengambil langkah berjaga-jaga.
Walau apa pun pilihan yang diambil, adalah penting untuk semua golongan masyarakat mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan semasa mengunjungi premis perniagaan bagi mendapatkan barangan keperluan.