
BETONG: Polis menahan empat lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes kecurian satu unit transformer milik Sarawak Energy Berhad (SEB) di kawasan Beladin di sini dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM30,000.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Rejali Angong berkata laporan polis berhubung kejadian itu diterima pada 16 Julai lepas kira-kira 8.56 pagi, selepas pihak SEB mendapati satu unit transformer mereka hilang di tepi jalan berhampiran Pangkalan Feri Tanjung Lilin.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Betong telah menjalankan operasi tangkapan pada 17 Julai antara 12.00 tengah hari hingga 5.50 petang di beberapa lokasi sekitar Beladin.
“Hasilnya, empat suspek lelaki tempatan berumur lingkungan 30 hingga 39 tahun berjaya diberkas. Siasatan mendapati dua daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rejali, pihaknya turut berjaya merampas semula satu unit transformer yang dilaporkan hilang oleh pihak pengadu.
Katanya, kesemua suspek akan direman pada 18 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, polis menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah khususnya melibatkan kecurian kabel elektrik dan komponen menara pencawang agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berdekatan. Oleh Tarani Lanting