Kecoh di zon peminat Piala Dunia Mexico ketika ribuan penyokong berebut masuk

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MEXICO CITY: Ribuan peminat bola sepak cuba merempuh masuk ke zon peminat rasmi Piala Dunia di Mexico City awal pagi tadi, mencetuskan suasana huru-hara sejurus sebelum sepak mula perlawanan pembukaan kejohanan itu.

Akses ke Festival Peminat (Fan Fest) di Dataran Zocalo terjejas akibat penghadang logam yang dipasang sejak beberapa hari lalu bagi menghalang guru-guru yang mengadakan protes daripada memasuki kawasan tersebut.

“Hentikan tolak-menolak, ada kanak-kanak di sini, kamu semua seperti haiwan!” jerit seorang pegawai bandar raya menerusi pembesar suara ketika cuba mengawal kemasukan ke lokasi tayangan perlawanan Mexico menentang Afrika Selatan di Stadium Azteca yang disiarkan menerusi skrin gergasi.

Sebahagian penyokong membaling botol air, menghamburkan kata-kata kesat kepada polis dan melaungkan sokongan kepada pasukan Mexico.

“Ini memang gila,” kata Javier Maciel, 25, seorang penyokong yang mengenakan ponco berwarna bendera Mexico.

“Penganjuran sepatutnya boleh dilakukan dengan lebih baik,” katanya.

Kerajaan tempatan kemudian mengumumkan menerusi media sosial bahawa kawasan tersebut telah “penuh” dan menyarankan orang ramai menonton perlawanan di dataran lain.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, sebelum ini dijangka hadir menyaksikan perlawanan di zon peminat itu, namun kehadirannya diragui susulan beberapa hari protes oleh guru-guru di kawasan berkenaan yang menuntut kenaikan gaji. – AFP