
BINTANGOR: Seorang lelaki dipercayai mengalami masalah kesihatan mental ditahan polis pada 30 Ogos lalu selepas mencetuskan kekacauan di kawasan Pasar Bintangor.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 7.40 malam pada tarikh sama berhubung seorang lelaki yang bertindak luar kawalan di kawasan berkenaan.
“Hasil tindakan segera, polis menahan lelaki terbabit dan semasa proses tangkapan, didapati suspek memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) dengan kategori ketidakupayaan mental,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, lelaki tersebut kemudiannya dirujuk ke wad psikiatri Hospital Sibu pada 30 Ogos bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Sehingga kini, lelaki tersebut masih berada di bawah pemantauan pihak hospital.
“Orang awam digesa agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini.
“Pihak polis akan terus bekerjasama dengan pihak hospital serta agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” tambahnya.