PENGURUS Pasukan Liga Premier Negeri Sembilan Abdul Razak Mohd Idrus, menzahirkan rasa tidak berpuas hati dengan prestasi hambar yang ditonjolkan oleh skuad beliau sepanjang perlawanan Liga Malaysia musim ini.
Beliau berkata ia membabitkan prestasi pasukan yang tidak konsisten, selain tidak pernah mencatatkan keputusan menang dua kali berturut-turut pada musim ini, walaupun pelbagai program latihan telah dilakukan ketua jurulatih, Sazali Saidon.
“Sebenarnya saya masih kecewa dengan keputusan perlawanan semasa bertemu Kuching FA, yang menyebabkan kita tewas di tempat sendiri, pada hal sebelum ini kita menang dua perlawanan sebagai tuan rumah selepas saingan Liga Malaysia, bermula 26 Ogos lalu.
“Bagaimanapun, saya berharap agar pasukan dapat bekerja keras dan kekal fokus untuk perlawanan terakhir Liga Premier menentang Sarawak United, agar kita dapat melayakkan diri ke Piala Malaysia 2020 atau saya terpaksa menyerahkan kepada pihak pengurusan, untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Pada 25 September lepas, Negeri Sembilan gagal meraih tiga mata penuh di laman sendiri, selepas tumpas 2-4 kepada Kuching FA.
Abdul Razak selain itu turut meluahkan rasa kecewa dengan prestasi beberapa pemain terutamanya pemain import, yang menurutnya sering hilang fokus serta gagal memanfaatkan peluang yang ada dalam perlawanan.
“Sembilan puluh peratus pemain dikekal pada musim ini, tetapi pasukan tidak memanfaatkan peluang yang ada dan sering hilang fokus di dalam perlawanan, menyebabkan gawang pasukan mudah dibolosi sehingga mendapat perbezaan jaringan – 7,” katanya.
Skuad Rusa kini menduduki tangga kelapan liga daripada 12 pasukan, dengan mengutip 11 mata selepas mencatatkan tiga kemenangan, seri (dua) dan kalah (lima).-Bernama