
BILBAO, Sepanyol: Jurulatih Arsenal, Mikel Arteta percaya kekecewaan dalam kempen Liga Juara-Juara musim lalu akan menjadi pengajaran berharga buat pasukannya dalam misi memburu kejuaraan sulung musim ini.
The Gunners terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada Paris Saint-Germain yang akhirnya muncul juara, namun Arteta menegaskan pengalaman itu menjadikan skuadnya lebih matang menjelang aksi pembukaan menentang Athletic Bilbao, awal pagi esok.
“Kami belajar banyak daripada situasi itu. Memang pedih kerana ia membabitkan harapan serta keyakinan sebenar dalam kelab bahawa kami mampu mara sepenuhnya,” kata Arteta pada sidang media di San Mames.
Menurutnya, Arsenal mempamerkan tahap konsisten dan kualiti tinggi sepanjang saingan lalu dan kini tiba masa untuk memperbaiki kelemahan kecil yang membezakan antara juara dan pasukan tersingkir.
“Kami sedar kami cukup bagus untuk bersaing dengan mana-mana pasukan. Namun pada masa sama, anda perlukan segala faktor memihak kepada anda. Skuad mesti lengkap pada detik kritikal, keputusan pengadil boleh jadi penentu, malah bola perlu masuk pada masa yang tepat kerana bezanya terlalu tipis,” jelasnya.
Arsenal kali terakhir mara ke final Liga Juara-Juara pada tahun 2006 sebelum tunduk kepada Barcelona dan sejak menjulang Piala FA pada 2020, kelab itu masih kemarau trofi besar.
Namun tugas mereka kali ini bertambah sukar apabila beberapa tonggak utama termasuk Gabriel Magalhaes, William Saliba, Kai Havertz, Martin Odegaard, Ben White serta Bukayo Saka disahkan tidak dapat diturunkan menentang Athletic, yang kembali ke pentas Eropah selepas 11 tahun.
Salah satu keputusan paling berani Arteta sepanjang menjadi pengurus adalah membawa masuk penjaga gol David Raya pada 2023 bagi menggantikan Aaron Ramsdale sebagai pilihan utama, langkah yang ketika itu mendapat kritikan hebat.
Bagaimanapun, Raya kini membuktikan kemampuannya dengan mencatat 100 penampilan bersama kelab hujung minggu lalu, selain mengekalkan 42 aksi tanpa bolos, sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai antara penjaga gol terbaik di Eropah.
“Ketika saya tiba, memang banyak cakap-cakap dan ia boleh difahami kerana Aaron seorang penjaga gol yang hebat. Tiba-tiba berlaku pertukaran, jadi media mula bising. Saya ada beberapa perlawanan yang boleh lebih baik, tetapi saya hanya fokus kepada diri sendiri dan cuba jadi ‘pekak’ di luar padang,” kata Raya.
Penjaga gol Sepanyol itu turut yakin Arsenal kini cukup kuat untuk melakar sejarah menjuarai Liga Juara-Juara buat kali pertama. – AFP