
SIBU: Kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital kini menjadi pemangkin utama dalam memperkasakan ekonomi serta membuka peluang baharu kepada rakyat Sarawak untuk menembusi pasaran global rentas sempadan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, telefon pintar kini bukan lagi sekadar alat komunikasi, sebaliknya berperanan sebagai pejabat mudah alih, studio kreatif dan pintu masuk ke pasaran antarabangsa.
“Peranti kecil di tangan kita ini telah mengubah cara kita bekerja, berniaga dan berinteraksi. Dunia digital membolehkan kita berhubung dengan sesiapa sahaja tanpa mengira sempadan atau mata wang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Persidangan E-Dagang dan Ekonomi Digital Kebangsaan 2025 di salah sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.
Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, kemajuan digital memberi peluang kepada masyarakat luar bandar dan bandar seperti Sibu untuk turut serta dalam ekonomi global tanpa perlu berhijrah ke bandar besar.

“Anak muda di Sibu, penduduk rumah panjang, nelayan di kampung dan usahawan kecil semuanya kini boleh menggunakan platform digital untuk memasarkan produk mereka ke luar negara, menjana pendapatan dalam pelbagai mata wang dan membina jenama sendiri,” ujarnya.
Katanya, kecerdasan buatan (AI) kini memainkan peranan penting dalam menjana kandungan digital dan e-dagang, membolehkan pengguna berkomunikasi dalam pelbagai bahasa serta memperluaskan capaian pasaran.
“AI bukan ancaman, tetapi alat yang membuka peluang baharu kepada pencipta kandungan, usahawan dan profesional untuk berkembang,” katanya lagi.
Tiang menegaskan bahawa Sarawak tidak akan terikat oleh faktor geografi, sebaliknya akan terus memanfaatkan ekonomi digital sebagai pemangkin pembangunan negeri.
“Sibu bukan ketinggalan, kita mempunyai bakat dan idea yang asli. Apa yang perlu ialah infrastruktur, latihan kemahiran digital dan sokongan berterusan daripada kerajaan serta agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA),” ujarnya.
Beliau turut menggesa golongan muda agar terus berani berkarya, berinovasi dan membawa idea tempatan ke pentas global.
“Dunia digital tidak mempunyai poskod, kejayaan bergantung kepada kreativiti, semangat dan kerja keras kita sendiri,” katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa Sarawak mampu menjadi peneraju ekonomi digital di rantau ini.
Persidangan tersebut turut menghimpunkan pencipta kandungan, usahawan digital serta wakil industri dari seluruh Sarawak bagi membincangkan strategi dan peluang dalam pembangunan ekonomi digital.
Turut hadir, Pengurus Besar Pendigitalan dan Kapasiti Business Events Sarawak, Joachim Soon, Ketua Bahagian Teknologi Digital Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Hemlet Kiai, Ketua Pegawai Eksekutif SEDC, Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman dan Presiden Persatuan Pengamal Digital Multimedia Sibu, Tiong Hua Kiong.
Oleh Akun Giman