
SIMANGGANG: Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman telah menganjurkan Majlis Khatam al-Quran dan Majlis Apresiasi Pendidikan Islam Bahagian Sri Aman 2025 di Dewan Suarah Sri Aman bagi meraikan pencapaian cemerlang dalam pendidikan Islam di daerah ini.
Majlis berkenaan dianjurkan secara bersama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bijat dan SK Gran/Stumbin serta dirasmikan oleh Temenggong Mohamad Shah Achang selaku wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
Dalam majlis itu, Guru Pendidikan Islam SK Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Sri Aman, Ustaz Lokman Hakim Mohammad diumumkan sebagai penerima Anugerah Guru Pemacu Transformasi Pendidikan Islam 2025 kategori lelaki, manakala Ustazah Nur Afrina Arif dari SK Saint Dunstan menerima anugerah bagi kategori wanita.
Bagi kategori murid, Muhammad Haziq Hayyan Muhammad Hafizul Rahman diumum sebagai penerima Anugerah Bintang Gemilang Pendidikan Islam 2025 kategori lelaki manakala Amni Sofea Mahbar Abdullah menerima anugerah bagi kategori perempuan.
Selain itu, SK Agama MIS Sri Aman diumum sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam 2025 kategori sekolah.
Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, Hossen Marip, dalam ucapannya memuji usaha Unit Pendidikan Islam PPD Sri Aman yang sentiasa proaktif menganjurkan aktiviti kerohanian sebegini.
Temenggong Mohamad Shah Achang pula menyifatkan penganjuran majlis ini sebagai simbol kejayaan pendidikan rohani, pembinaan sahsiah dan penyuburan nilai Islam dalam kalangan pelajar.
Seramai 150 penduduk termasuk pemimpin masyarakat, warga pendidik, ibu bapa dan pelajar hadir untuk menyaksikan majlis yang disertai oleh 30 peserta khatam al-Quran itu, menandakan komitmen berterusan masyarakat Sri Aman terhadap pembangunan pendidikan Islam.
Oleh Adi Safarman