
BINTULU: Kecekapan operasi, keselamatan dan kelestarian perlu terus menjadi keutamaan bagi memastikan Pelabuhan Bintulu kekal berdaya saing sebagai pintu masuk dagangan strategik negara, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Beliau berkata, prestasi dan kejayaan pelabuhan negara termasuk Pelabuhan Bintulu mencerminkan kemampuan Malaysia dalam mengurus rantaian bekalan, memudah cara perdagangan serta memperkukuh daya saing sektor maritim di peringkat antarabangsa.

“Sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perhubungan maritim untuk perdagangan antarabangsa, prestasi dan kejayaan pelabuhan negara, termasuk Pelabuhan Bintulu, merupakan cerminan kemampuan Malaysia dalam mengurus rantaian bekalan, memudah cara perdagangan dan memperkukuh daya saing sektor maritim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) 2025 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, semalam.
Menurut Hasbi, tema penganjuran majlis tahun ini menggambarkan keazaman bersama untuk terus memperkukuh kecekapan dan kelestarian dalam operasi pelabuhan.
“Tema pada tahun ini, ‘Kecekapan Diutamakan, Era Baharu Pelabuhan Bintulu’, amat bertepatan dan signifikan kerana ia mencerminkan keazaman bersama untuk terus memperkukuh aspek kecekapan, keselamatan dan kelestarian dalam operasi pelabuhan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen Kementerian Pengangkutan untuk terus menyokong Lembaga Pelabuhan Bintulu serta pelabuhan-pelabuhan lain di negara ini.
“Saya ingin menegaskan komitmen Kementerian Pengangkutan untuk terus memberi sokongan kepada Lembaga Pelabuhan Bintulu dan juga Pelabuhan-Pelabuhan di Malaysia dalam usaha meningkatkan keupayaan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan pelabuhan serta pengukuhan kerjasama antara kerajaan, industri dan komuniti,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi LPB, Datuk Sharkawi Alis berkata, penganjuran Majlis Makan Malam Apresiasi LPB bertujuan menghargai sumbangan dan sokongan berterusan pengguna pelabuhan serta rakan strategik sejak penubuhan Pelabuhan Bintulu pada 1981.
“Sepanjang 44 tahun penubuhannya, Pelabuhan Bintulu telah mencatat pelbagai pencapaian dan kejayaan yang membanggakan, merangkumi aspek pengoperasian, tadbir urus serta pembangunan mampan,” katanya.
Majlis berkenaan menghimpunkan warga kerja pelabuhan, agensi kerajaan, pengguna pelabuhan serta rakan industri sebagai simbol penghargaan terhadap sumbangan berterusan mereka kepada pembangunan sektor maritim di Bintulu.
Oleh Carolyne Utih