
SIBU: Kecekapan dan komitmen tinggi warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu sepanjang tahun 2025 terbukti apabila berjaya menangani pelbagai insiden kecemasan dengan respons pantas, sekali gus menyelamatkan nyawa serta harta benda.
Ketua JBPM Zon 4 Sibu, Andy Alie berkata, pencapaian itu mencerminkan keteguhan semangat “Kita BOMBA” dalam kalangan anggota, termasuk pegawai bomba bantuan, Pasukan Bomba Sukarela dan Bomba Komuniti.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu, warga Zon 4 Sibu berdepan pelbagai cabaran seperti kebakaran, kebakaran hutan, musim kemarau, kemalangan jalan raya serta operasi menyelamat ketika banjir besar di Mukah, Dalat dan Selangau.
“Keberhasilan ini didorong oleh latihan berterusan, kerjasama erat dengan agensi keselamatan lain serta sokongan masyarakat setempat.
“Antara pencapaian membanggakan termasuk pengurangan masa tindak balas kecemasan, peningkatan program keselamatan kebakaran komuniti serta kejayaan menyelamatkan banyak nyawa dan harta benda,” katanya kepada Utusan Sarawak sempena sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2026, hari ini.

Beliau turut merujuk amanat Ketua Pengarah JBPM sempena Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 yang menzahirkan kebanggaan terhadap prestasi anggota barisan hadapan dalam memperkukuh kredibiliti serta profesionalisme perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan.
Katanya, meskipun berdepan pelbagai cabaran global, warga bomba kekal berpegang kepada prinsip “Work More With Less” di samping menghayati semangat pengorbanan demi negara.
Beliau menegaskan bahawa cabaran sebagai anggota bomba kekal besar dan memerlukan semangat berpasukan, disiplin serta dedikasi tinggi sebagai asas kekuatan organisasi.
“Tahun 2025 juga amat bermakna apabila JBPM meraikan Jubli Emas yang bukan sahaja melambangkan sejarah penyatuan jabatan dengan Kerajaan Persekutuan, malah menjadi simbol perjuangan, pengorbanan dan kejayaan seluruh warga bomba.
“Semangat ‘Kita BOMBA’ perlu terus diperkukuh bagi memastikan jabatan kekal unggul sebagai tonggak penyelamatan negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mendoakan agar seluruh warga bomba sentiasa diberikan kesihatan yang baik, dilindungi daripada segala bahaya serta dipermudahkan dalam setiap urusan.
Sempena Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 hari ini, pelbagai aktiviti telah diadakan, antaranya sambutan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah.
Program Penanaman Pokok 50 tahun, 50 balai di BBP Sarikei turut diadakan sebagai simbol sambutan Jubli Emas JBPM. BBP Sarikei merupakan antara 50 buah balai yang telah berkhidmat melebihi 50 tahun.
Selain itu, turut diadakan kunjungan mesra ke atas pesara bomba, Awang Wahid Awang Mendekup di Kampung Muut Sekaan Besar, Matu, petang tadi.
Kunjungan tersebut diadakan bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota bomba yang telah bersara, di samping menzahirkan penghargaan jabatan terhadap sumbangan mereka.
Oleh Akun Giman