

FOKUS….Anggota bomba menjalankan latihan ‘Air Lifting Bag.’ Foto BBP Bintangor
BINTANGOR: Kecekapan dan ketangkasan anggota bomba terus diperkasa menerusi latihan kawad mahir peralatan kebombaan ‘Air Lifting Bag.’
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor Mahmudin Narudin, berkata sesi pelaksanaan Sistem Tugasan Balai (STB) tersebut diadakan di Bay Jentera BBP Bintangor semalam.
“Latihan yang bermula dari 9.00 pagi hingga 10.00 pagi tersebut bertujuan memperkukuh tahap kesiapsiagaan anggota bomba dalam mengendalikan peralatan penyelamatan khas, selain memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi dengan teliti ketika menghadapi situasi kecemasan sebenar.
“Latihan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif latihan dalaman berkala yang diwajibkan kepada setiap pasukan syif bagi mengekalkan tahap profesionalisme dalam tugas menyelamat.
“Ia memberi fokus kepada pengendalian ‘Air Lifting Bag’ iaitu antara peralatan kritikal yang digunakan untuk mengangkat objek berat seperti kenderaan atau runtuhan bangunan ketika misi menyelamat,” katanya.
Mahmudin berkata demikian ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Tambahnya, aspek kecekapan teknikal seperti kawalan tekanan udara, penempatan beg angkat yang tepat serta koordinasi antara anggota bomba sangat dititikberatkan dalam latihan tersebut.
“Dalam situasi sebenar di lokasi bencana, ia adalah bagi mengelakkan sebarang risiko kecederaan kepada mangsa dan pasukan penyelamat.
“Selain itu, latihan ini juga membantu mengenal pasti sebarang kelemahan dalam tatacara penggunaan peralatan supaya penambahbaikan dapat dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek