
CANBERRA: Penemuan awal satu kajian di Australia menunjukkan kecederaan otak traumatik (TBI) termasuk gegaran otak, mungkin mencetuskan perubahan otak yang berpanjangan dan boleh dikesan beberapa dekad kemudian, walaupun dalam kalangan orang dewasa yang sihat, lapor Agensi Berita Xinhua.
Penyelidik mendapati skor disfungsi mood yang lebih tinggi, pengurangan integriti bahan putih pada pelbagai bahagian otak, deria bau yang semakin lemah, serta perubahan pada sistem autonomi dan gastrointestinal dalam kalangan peserta TBI berbanding kumpulan kawalan, menurut kenyataan daripada University of Adelaide pada Isnin.
Menurut kenyataan itu, semua gejala tersebut dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit Parkinson pada usia lanjut.
Ujian yang masih berjalan melibatkan lebih 600 peserta, bertujuan mengenal pasti mekanisme yang meningkatkan risiko demensia atau Parkinson, memandangkan TBI dikaitkan dengan 15 peratus kes demensia manakala hanya satu TBI sahaja meningkatkan risiko Parkinson lebih daripada 50 peratus, menurut penyelidik.- Bernama-Xinhua