Siapa kata anak muda tidak minat berkebun? Ramai yang beranggapan berkebun adalah satu aktiviti yang sering dikaitkan dengan orang tua.
Bahkan, ada yang menganggap aktiviti bercucuk tanam ini sebagai sesuatu yang membosankan serta ketinggalan zaman.
Ada juga yang beranggapan berkebun hanya membazirkan tenaga, kotor serta tidak mendatangkan hasil yang lumayan.
Namun, berbeza pula dengan seorang anak muda dari Kampung Hilir di sini yang amat meminati aktiviti berkebun ini sejak dari kecil.
Selain minat, Mohd Rahman Kassim,33, berkata, kebun pusaka yang diwarisi turun temurun daripada nenek moyang menjadi sumber rezeki tambahan kepada beliau sekeluarga.
Katanya, kebun yang terletak di Pulau Keladi ini dahulu merupakan kawasan perkampungan lama masyarakat Melayu.
“Hasil dari tanaman di kebun peninggalan keluarga ini membolehkan kami adik-beradik menjana pendapatan sampingan.
“Terdapat pelbagai jenis tanaman yang ditanam sejak dari mula kebun tersebut diusahakan oleh moyang kami dahulu,” katanya.
Menurut Rahman, antara tanaman yang terdapat di kebun warisan mereka adalah seperti pokok durian, dabai, manggis, langsat, engkalak, embang, mempelam dan rambai.
Beliau berkata, pokok durian dan dabai adalah tanaman utama dan paling banyak di kebun tersebut.
Katanya, kebanyakan pokok telah berusia lebih 70 tahun.
Bagi memastikan tanaman ini terus mengeluarkan hasil setiap tahun, katanya, dari dulu lagi masih mengamalkan petua pertanian dari moyang mereka.
“Apabila pokok mula mengeluarkan buah, kami akan melakukan ‘pengasapan’ dan meletak baja.
“Rumput-rumput menjalar di kebun juga perlu kerap ditebas kerana pokok yang berbuah memerlukan cahaya matahari yang banyak berbanding tanaman sayur-sayuran,” ujarnya.
Bagaimanapun, langit tidak selalunya cerah kerana ada waktunya tanaman kebun mereka kurang mengeluarkan hasil.
Jelas Rahman, antara faktor penyumbang adalah musim hujan berpanjangan, jerebu dan banjir.
“Hujan lebat yang kerap menyebabkan tanah menjadi lembab. Keadaan ini menyebabkan tanah menjadi masam dan tidak proaktif untuk perkembangan tanaman buah-buahan.
“Contohnya, buah dabai tidak dapat dipetik ketika musim hujan kerana buah yang dihasilkan tidak berkualiti.
“Sama juga seperti pokok durian, buah durian tidak dapat terlalu lama dalam keadaan lembab, jika tidak buah akan berasa masam atau cepat buruk,” katanya.
Dalam pada itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga menyebabkan beliau tidak dapat menjual hasil kebun mereka.
Katanya, sekatan pergerakan menyukarkan mereka untuk ke kebun bagi mengutip hasil pokok yang telah berbuah.
Sehubungan itu, Rahman berharap PKP dan pandemik ini cepat berakhir agar hasil kebun mereka dapat dijual kepada orang ramai.
Oleh NURZILLA MOHAMAD