KOTA SAMARAHAN: Kebocoran paip utama berukuran 800 milimeter berhampiran Aiman Mall di sini, akibat kerja pembinaan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan Kota Samarahan serta kawasan di bawah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
Sarawak Water dalam kenyataan hari ini berkata, kejadian itu menyebabkan gangguan bekalan air dan tekanan air rendah kepada pengguna di sepanjang Jalan Datuk Mohammad Musa, Taman Desa Ilmu serta kawasan sekitarnya.
“Kebocoran berkenaan turut menjejaskan penyaluran bekalan air terawat daripada Sarawak Water ke kawasan JBALB Samarahan.
“Keadaan itu mengakibatkan gangguan bekalan air di Tambirat, Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau dan Simunjan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, pasukan teknikal Sarawak Water telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja pembaikan secepat mungkin.
“Lori tangki air turut digerakkan ke kawasan yang memerlukan bantuan bekalan air sementara sepanjang tempoh gangguan.
“Sarawak Water bekerjasama dengan JBALB, pihak KUTS serta agensi berkaitan bagi memastikan kerja pembaikan dilaksanakan dengan selamat dan diselesaikan secepat mungkin,” jelasnya.
Tambah kenyataan tersebut, bekalan air akan pulih secara berperingkat selepas kerja pembaikan selesai apabila tekanan dan sistem agihan kembali stabil.
“Tempoh pemulihan bagaimanapun mungkin berbeza mengikut lokasi, khususnya kawasan tinggi dan kawasan yang berada di penghujung sistem agihan.
“Sarawak Water memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna serta menghargai kesabaran dan kerjasama semua pihak sepanjang tempoh gangguan.
“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi Sarawak Water,” ujarnya.



