

MIRI: Pasukan bomba bertindak pantas menangani kejadian kebocoran paip gas di Lorong Tasik 4A, Senadin, di sini, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, Henry Jugah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.49 petang sebelum sebuah jentera bersama enam anggota digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati berlaku kebocoran gas berpunca daripada paip gas di bahagian belakang rumah pengadu yang didapati patah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Pasukan Komander Operasi (PKO) segera melakukan penilaian awal bagi memastikan tiada risiko letupan atau kebakaran sebelum tindakan lanjut diambil.
“Sebagai langkah keselamatan, pihak bomba telah menghubungi Sarawak Gas untuk menutup injap utama paip gas berkenaan.
“Setelah keadaan disahkan selamat dan terkawal, operasi ditamatkan sepenuhnya,” jelasnya.
Henry berkata, operasi berjaya dikawal pada 6.10 petang dan tamat sepenuhnya pada 7.23 malam, tanpa sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Dalam kejadian itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Sarawak Gas turut berada di lokasi bagi membantu kelancaran operasi dan memastikan keselamatan penduduk sekitar.
Oleh Liong Chai ling