
MIRI: Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengawal kebocoran paip gas milik Sarawak Gas Distribution Sdn Bhd di Jalan Kwongtung, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, tiada mangsa dilaporkan dan keadaan berjaya dikawal sebelum operasi diserahkan kepada pihak syarikat utiliti berkenaan untuk tindakan lanjut.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.58 pagi sebelum sebuah jentera bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi.
Katanya, pasukan bomba mendapati berlaku kebocoran pada paip gas milik Sarawak Gas Distribution Sdn Bhd.
“Anggota bomba segera menjalankan operasi mengawal keadaan menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap.
“Pada masa sama, pihak Sarawak Gas Distribution Sdn Bhd dihubungi bagi menjalankan tindakan teknikal susulan di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, keadaan berjaya dikawal pada 10.13 pagi sebelum operasi diambil alih sepenuhnya oleh pihak Sarawak Gas Distribution Sdn Bhd.
Operasi tamat sepenuhnya pada 10.52 pagi dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Oleh Liong Chai Ling