
KUCHING: Pembantu Khas kepada Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian, menyuarakan kebimbangan serius berhubung kejadian paip air bocor yang berulang di kawasan Olive Garden, Batu 7, dan menggesa satu penyelesaian segera serta jangka panjang dilaksanakan.
Beliau berkata, sebanyak lima kejadian kebocoran paip telah direkodkan di kawasan tersebut setakat tahun ini. Walaupun kerja pembaikan dilakukan setiap kali kejadian berlaku, langkah tersebut hanya bersifat sementara dan gagal menyelesaikan punca sebenar masalah.
“Berdasarkan perbincangan kami dengan kontraktor di tapak, keseluruhan sistem paip di kawasan itu sudah terlalu uzur, dengan sebahagiannya dianggarkan telah digunakan lebih 40 tahun. Infrastruktur seperti ini tidak lagi sesuai untuk memenuhi keperluan semasa,” katanya.

Menurut Michael Kong, dengan pertambahan penduduk dan peningkatan penggunaan air, terdapat keperluan untuk meningkatkan tekanan air bagi memastikan bekalan mencukupi kepada penduduk. Namun, paip lama tidak mampu menampung tekanan yang lebih tinggi, sekali gus menyebabkan paip kerap pecah.
“Kekerapan kejadian ini jelas menunjukkan sistem berkenaan telah mencapai had jangka hayatnya,” tegas beliau.
Beliau menambah bahawa pendekatan pembaikan sementara bukan sahaja tidak efisien, malah menimbulkan kesulitan berulang kepada penduduk seperti gangguan bekalan air, kerosakan jalan raya serta pembaziran air terawat.
“Keadaan ini memerlukan satu penyelesaian yang praktikal dan jangka panjang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Sarawak Water supaya mengambil tindakan segera untuk menggantikan keseluruhan paip lama di kawasan Olive Garden, Batu 7.
“Peningkatan menyeluruh terhadap sistem saluran paip adalah satu satunya cara mampan untuk memastikan bekalan air yang stabil dan konsisten kepada penduduk. Pelaburan dalam infrastruktur yang betul kini akan mengurangkan kerosakan pada masa depan, meminimumkan kehilangan air tidak berhasil, serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan secara keseluruhan,” katanya.
Oleh Connie Chieng