
BINTULU: Beberapa kawasan di Tanjong Batu termasuk perumahan Sanctuary Villa mengalami masalah tekanan air rendah dan gangguan bekalan air sejak beberapa hari lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata pihaknya telah menerima banyak aduan daripada penduduk dan segera mengambil tindakan dengan menghubungi pihak LAKU Management Sdn Bhd untuk mendapatkan penjelasan.
“LAKU memaklumkan terdapat tiga kejadian paip bocor dan pecah yang telah berjaya dibaiki.
“Namun, satu lagi kebocoran baharu dikesan pagi ini dan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja pembaikan dijalankan secara berperingkat dan pasukan teknikal telah dikerahkan ke lokasi terjejas bagi mempercepat proses pemulihan bekalan air.
Tambahnya, pihak LAKU turut mengesahkan bahawa kawasan Tanjung Batu mencatatkan peningkatan luar biasa insiden paip pecah kebelakangan ini dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca utama.
“Pejabat saya akan terus memantau rapat perkembangan ini dan memastikan penduduk dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan penduduk agar bersabar dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin demi keselesaan bersama.
Oleh Carolyne Utih