

SIMANGGANG: Gangguan bekalan air yang melibatkan beberapa kawasan sekitar Sri Aman dikenal pasti berpunca daripada kebocoran paip bersaiz 350 milimeter di Jalan Sembau, menurut kenyataan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Sri Aman hari ini.
JBALB memaklumkan kawasan terjejas termasuk Bukit Sembau, Taman Alam, Sembau, Peruan, Skra Ulu, Putat, Rirang, Trusan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lingga, Skait serta kawasan berhampiran.
Menurut kenyataan itu, kebocoran paip utama berkenaan menyebabkan aliran bekalan air terganggu sekali gus menjejaskan pengguna di kawasan terbabit sejak dikesan.
Sehubungan itu, JBALB telah melantik kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dengan kadar segera bagi memastikan bekalan air dapat dipulihkan secepat mungkin.
Dalam masa yang sama, pihak JBALB turut menjalankan pemantauan berterusan di lapangan bagi memastikan proses baik pulih berjalan lancar serta mengenal pasti sekiranya terdapat punca lain yang menyumbang kepada gangguan bekalan air di kawasan terjejas.
JBALB turut memberi jaminan bahawa pemantauan rapi akan diteruskan sehingga bekalan air kembali pulih sepenuhnya dan stabil kepada semua pengguna.
Pihak jabatan memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh pengguna terlibat dan merakamkan penghargaan atas kesabaran serta kerjasama orang ramai sepanjang tempoh gangguan tersebut.
Sebarang aduan atau pertanyaan boleh disalurkan kepada Call Centre JBALB Sarawak di talian 082-262211 yang beroperasi 24 jam atau Bilik Gerakan Operasi JBALB Bahagian Sri Aman di talian 083-323240 pada waktu pejabat.
Oleh Adi Safarman