Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Kebocoran air di KLIA berpunca daripada kesilapan kontraktor ketika kerja baik pulih bumbung – MAHB
  • NASIONAL

Kebocoran air di KLIA berpunca daripada kesilapan kontraktor ketika kerja baik pulih bumbung – MAHB

Utusan Sarawak 14 hours ago
KEBOCORAN air di KLIA Terminal 1 akibat kesilapan kontraktor semasa kerja baik pulih bumbung, namun siasatan sedang dijalankan.

PUTRAJAYA: Insiden kebocoran air di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam berpunca daripada kesilapan kontraktor semasa kerja-kerja baik pulih bumbung dan pengalisan air yang sedang dijalankan.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati insiden itu berlaku ketika kerja-kerja baik pulih bumbung secara besar-besaran sedang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada penyelenggaraan berterusan bagi menangani infrastruktur yang semakin uzur.

Menurut MAHB, kontraktor terbabit sedang menutup serta melindungi saluran perparitan di atas bumbung apabila aktiviti kilat semakin aktif di sekitar lapangan terbang, dan selaras dengan prosedur keselamatan, semua kerja dihentikan serta-merta manakala para pekerja diarah mengosongkan kawasan bumbung.

“Dalam keadaan tergesa-gesa untuk mengosongkan kawasan berikutan cuaca yang semakin buruk, kontraktor terbabit gagal menanggalkan papan lapis yang digunakan sebagai penutup sementara saluran perparitan. Keadaan ini menyebabkan satu daripada sistem perparitan bumbung tersumbat,” menurut kenyataan itu.

Keadaan itu menghalang aliran air hujan yang lebat, menyebabkan ia bertakung di atas bumbung sebelum meresap ke siling sehingga mengakibatkan kebocoran dan menjejaskan sebahagian daripada kawasan balai berlepas.

MAHB memaklumkan bahawa pasukan respons di lapangan berjaya membersih serta memulihkan kawasan yang terjejas dalam tempoh sejam setengah dan selepas itu, operasi diteruskan dengan selamat serta lancar seperti biasa.

Pengendali lapangan terbang itu turut memaklumkan bahawa kegagalan kontraktor mematuhi protokol kerja asas, khususnya ketika menanggalkan penutup sementara saluran perparitan, telah dikenal pasti sebagai punca langsung insiden tersebut dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang “tidak boleh diterima” bagi kerja-kerja membabitkan infrastruktur kritikal lapangan terbang.

“KLIA dipertanggungjawabkan oleh orang ramai untuk mengekalkan piawaian tertinggi, dan kami komited memastikan semua kontraktor serta rakan kongsi mematuhi piawaian tersebut. KLIA sedang mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor terbabit bagi menangani kelemahan ini,” menurut kenyataan itu.

MAHB memaklumkan bahawa pihaknya turut bekerjasama dengan kontraktor terbabit untuk memperkukuh prosedur kerja termasuk pemeriksaan ramalan cuaca secara mandatori sebelum memulakan aktiviti di atas bumbung dan menambah baik protokol kecemasan bagi pemberhentian kerja ketika cuaca buruk.

Kerja-kerja baik pulih bumbung itu adalah sebahagian daripada projek selama setahun yang bermula pada April lepas untuk membaiki dan mengaliskan air di bumbung terminal utama sekali gus menjadi komponen penting dalam program pembaharuan infrastruktur Malaysia Airports yang lebih menyeluruh.- Bernama

Continue Reading

Previous: PRN Sabah: Penaman calon bermula tepat 9.00 pagi
Next: Calon PKS DUN Kiulu, pengsan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.