
KOTA KINABALU: Kebijaksanaan seorang pelajar Malaysia yang berjaya menamatkan pengajian di sebuah universiti di Hungary dengan nilai gred kumulatif (CGPA) 4.99 (4.99/5.00) sehingga melayakannya menerima anugerah ‘top of cohort’, bukan sahaja tular kerana kejayaan akademiknya.
Istimewanya juga, anak gadis kelahiran Sabah ini, Afiqah Izzati Sundusin (gambar), 24, turut mencuri perhatian dunia apabila diiktiraf menjadi pelajar Malaysia pertama menjadi wakil graduan berucap dalam acara penuh bermakna itu di depan ribuan graduan dan keluarga mereka di University of Szeged.
Tampil bergaya dan bangga dengan busana warisan suku Bugis iaitu baju Bodo atau turut dikenali baju Tokko, graduan kejuruteraan pertanian ini tidak sekadar berjaya memukau kekaguman ramai dengan pencapaian cemerlangnya itu akan tetapi juga apabila memilih memulakan ucapan dalam bahasa Melayu.
“Ucapan pembukaan dimulakan dengan peribahasa ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ iaitu sesuatu kejayaan tidak dapat dicapai tanpa usaha. Peribahasa ini cukup signifikan dengan saya kerana kejayaan tidak datang bergolek tetapi selepas usaha, doa dan tawakal.
“Ada perkara tercapai dan ada perkara diingini tetapi tidak menjadi, namun itu bukan kegagalan sebaliknya cuba lagi dan berserah kepada Allah dan memang banyak cabaran selama di sini (Hungary) tetapi itu tidak mematahkan semangat saya demi menimba ilmu,” katanya.
Ditemani ahli keluaganya pada hari penuh istimewa itu, anak sulung daripada enam beradik ini percaya budaya dan identiti sebagai gadis Bugis serta rakyat Malaysia tidak akan pudar biarpun menetap lama di negara luar dan kerana itu, Afiqah Izzati nekad memilih busana tradisi pada hari bahagianya itu.
Tidak sama sekali menyangka keputusannya bersama keluarga untuk menggayakan busana Bugis itu akhirnya berjaya mencetuskan minat ramai, tidak hanya dalam kalangan rakan-rakannya akan tetapi juga, keunikan penampilannya itu turut mendapat perhatian dan liputan meluas media di Hungary.
“Saya bangga menjadi anak Malaysia (yang terkenal dengan) masyarakat majmuk selain turut sama bangga dengan warisan dimiliki. Saya memilih memakai baju tradisional ini bukanlah sekadar fesyen semata-mata tetapi ini adalah cara saya memperkenalkan keunikan kepelbagaian etnik di Malaysia kepada dunia.
“Baju berona hijau ini dengan kain, songkok recca, tali pinggang (pa’bekkeng) ditempah dari Indonesia dan penghantaran ke Sabah dalam masa dua minggu. Ia dijahit oleh penjahit tempatan di Sandakan, boleh kata proses keseluruhan membuat baju Bodo ini lebih kurang tiga bulan,” katanya.
Ketika ditanya perancangannya selepas ini, gadis kelahiran Tawau dan membesar di Sandakan ini berkata akan ke Switzerland bagi menjalani sesi ‘research intern’ di pusat penyelidikan di negara itu selama empat bulan bermula April hingga Julai.

“Saya diberikan peluang untuk menimba pengalaman di Switzerland dan pastinya, peluang ini tidak akan disia-siakan untuk melakukan yang terbaik. Penyelidikan yang akan dilakukan adalah berkaitan dengan penyelidikan yang saya buat semasa di Hungary iaitu ‘biological control of weeds’,” katanya.
Menyimpan impian bergelar saintis penyelidikan dan pembangunan pertanian, Afiqah Izzati berkata kejayaannya ini bukanlah untuk mendabik dada namun, diharapkan dapat memberi inspirasi dan contoh terbaik kepada adik-beradiknya serta yakin mereka juga akan lebih berjaya pada masa depan.
Begitu menghargai pengorbanan ibu bapanya yang telah bekerja keras, tenaga serta doa yang tidak pernah henti, menjadi pegangan buatnya untuk terus kekal berjuang menggapai impian biarpun tidak dinafikan, ada ketikanya gadis ini juga tidak terkecuali berdepan dengan semangat hampir putus.
“Setiap orang akan melalui liku-liku kehidupan, sebab itu kena ada tujuan yang jelas dan selalu cuba mengingati pegangan agama. Bagi saya, tujuannya adalah untuk menimba dan mengamalkan ilmu bermanfaat dan sentiasa mengingati keluarga.
“Jasa umi dan ayah cukup besar, mereka banyak berkorban dan jika saya berasa ‘down’, saya akan kenang penat lelah mereka,” katanya sambil menambah bapanya merupakan pegawai kesihatan persekitaran di Sandakan manakala ibunya adalah pengurus di syarikat berkaitan kerajaan.
Beliau sebelum ini mendapat pendidikan rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pui Gin dan kemudiannya menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan dan selepas itu melanjutkan pelajaran dalam Asasi Sains Pertanian di Universiti Putra Malaysia.
-BERNAMA