
TORONTO, Kanada: Cristiano Ronaldo menyifatkan kemenangan Portugal ke atas Croatia dalam pusingan 16 terakhir Piala Dunia sebentar tadi sebagai “kebetulan dalam kehidupan”, apabila ia berlaku hampir setahun selepas kematian rakan sepasukannya, Diogo Jota.
Ronaldo dan rakan sepasukan turut bergambar dengan jersi nombor 21 milik Jota selepas kemenangan sengit 2-1 itu yang membawa Portugal ke pusingan 16 terakhir.
“‘Kebetulan dalam kehidupan’, ia sesuatu yang sukar dipercayai,” kata Ronaldo. “Kami sudah mengetahuinya sebelum perlawanan. Ia satu detik yang sangat istimewa. Kami berbincang hari ini dalam pasukan mengenai perkara itu. Ia benar-benar luar biasa.”
Ronaldo turut mengenakan jersi nombor 21 pada penghujung perlawanan ketika sesi temu bual.

Jurulatih Portugal, Roberto Martinez, berkata kemenangan itu membawa makna yang amat istimewa.
“Bagi peminat Portugal, hari ini sangat menggembirakan, dan juga kerana makna perlawanan ini, kami mara ke fasa seterusnya, ke pusingan 16 terakhir. Dalam tahun kami memberi penghormatan kepada Diogo Jota,” katanya.
Jota dan adiknya, Andre Silva, terkorban selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas ketika pemain Liverpool itu memandu di Sepanyol pada 3 Julai tahun lalu dalam perjalanan pulang untuk melapor diri bagi latihan pramusim di England.
Sebelum ini dalam kejohanan tersebut, gambar hitam putih Jota dipaparkan pada skrin gergasi stadium di Houston sebelum perlawanan pertama Portugal menentang Republik Demokratik Congo. – AFP