JIKA kebanyakan pihak fokus dalam mengutamakan kebersihan dan kesihatan diri tatkala negara serta dunia dibayangi kebimbangan virus berbahaya (Covid-19), pemain bola sepak juga tidak terkecuali daripada berbuat demikian.
Dua pasukan yang bersaing dalam kancah Liga Premier 2020 iaitu iaitu Sarawak United FC (SU FC) dan Kuching FA juga memberi penekanan kepada aspek yang sama.
Terdahulu, pasukan Kuching FA melakukan ujian swab (saringan kesihatan) keatas pemain, jurulatih dan pegawai pertengahan bulan lalu (Jun), dan kesemua 38 orang yang terlibat bebas dari gejala berkenaan.
Rutin yang sama turut dilakukan pihak pengurusan skuad SU FC pada 29 Jun lalu juga 41 orang yang diuji (swab) juga disahkan bebas.
Pengurus Pauskan SU FC, Afiq Fikri Brahim nyata lega apabila kesemua pemain, jurulatih dan pegawai disahkan bebas dari gejala virus berbahaya (Covid-19).
“Penting bagi kita melaksanakan ujian saringan kesihatan (swab) kepada pemain, jurulatih serta pegawai dalam keadaan situasi persekitaran negara serta dunia yang dibayangi virus berbahaya.
“Apa pun, pihak kita merasa lega apabila kesemua yang berada dalam pasukan disahkan bebas dari gejala berkenaan,” jelas Afiq ketika mengulas mengenai perkara itu.
Menurut Afiq lagi, memberi keutamaan terhadap kesihatan para pemain mahupun jurulatih serta pegawai adalah agenda yang perlu diberi tumpuan khusus.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA), Iswandy Ali Hassan memberitahu, pihaknya kini memberi keutamaan terhadap kesihatan pemain, jurulatih dan juga pegawai.
“Memang kita tahu setiap pasukan yang masih lagi terlibat dalam Liga Malaysia 2020 wajib menjalani ujian saringan (swab) untuk memastikan tahap keselamatan kesihatan diri. Pihak kita (KDFA) juga turut melaksana sama perkara itu,” ujar Iswandy.
Sambil mengakui cukup lega apabila keputusan kesemua pemain, jurulatih serta pegawai dalam pasukan terbabit didapati ‘negatif’. Sekali gus, membolehkan pemain pasukan terbabit menjalani latihan seperti biasa.
Cuma apa yang penting kata Iswandy, mereka sentiasa memantau pergerakan pemain, jurulatih serta pegawai mencakupi suhu badan sebelum memulakan latihan.
Di samping memastikan penjarakkan sosial agar tahap kesihatan mereka sentiasa terjamin dan bebas dari terdedah kepada virus berbahaya itu.
Ujian saringan kesihatan (swab) keatas pemain, jurulatih serta pegawai antara perkara wajib yang diberi penekanan oleh badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap kesemua pasukan yang masih lagi bersaing dalam kancah Liga Malaysia 2020.
Oleh Faizal Bujang