Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Keberkesanan Gaya Bahasa dalam Sajak
  • WBS

Keberkesanan Gaya Bahasa dalam Sajak

Utusan Sarawak 3 weeks ago

SAJAK merupakan himpunan dan susunan kata-kata yang istimewa untuk menyampaikan makna. Kata-kata yang sesuai dengan perkara, pemikiran dan perasaan yang ingin disampaikan penyajak. Bahasa sajak bersifat ekonomis, padat dan tepat. Bahasa sajak mengandungi perasaan. Bahasa emotif yang  mudah menyentuh perasaan di samping mengajak khalayak pembaca untuk sama berfikir tentang perkara yang dimaksudkan.

Gaya bahasa amat penting dalam pembinaan sesebuah sajak. Kejayaan sebuah sajak akan ditentukan oleh keberkesanan gaya bahasanya. Penyajak perlu mencari gaya bahasa yang sesuai untuk menyampaikan makna sajaknya. Gaya bahasa tersendiri atau ciri khas yang menjadi identiti seseorang penyajak tidak muncul secara tiba-tiba sahaja. Ia memerlukan proses yang panjang dan berulang.

Sajak bukan hanya sekadar susunan kata-kata tetapi juga merupakan ekspresi perasaan dan pemikiran yang disampaikan dengan cara yang unik dan penuh makna. Keistimewaan sajak terletak pada penggunaan bahasa yang padat, tepat dan ekonomis. Menggunakan sedikit kata untuk menyampaikan banyak perkara. Dalam konteks ini, gaya bahasa menjadi elemen yang sangat penting kerana ia menentukan sejauh mana sajak tersebut dapat menyentuh emosi dan memberikan kesan mendalam kepada pembaca.

Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh dalam bukunya, Pengalaman Puisi menegaskan bahawa puisi memakai lebih banyak aspek bahasa daripada bentuk-bentuk lainnya. Rupa, bunyi dan siratan maknanya digunakan secara yang lebih dalam daripada prosa misalnya. Penyair seharusnya lebih peka untuk mendapatkan kesemua kekayaan ini.

Pembaca sajak biasanya mencari sesuatu yang baharu, baik dari segi emosi, pengalaman atau pemikiran. Oleh itu, gaya bahasa yang digunakan oleh penyajak harus mampu menyentuh dan merangsang pemikiran pembaca. Jika penyajak hanya menggunakan kata-kata yang biasa dan klise tanpa adanya elemen kiasan atau figuratif, maka kesan yang ditinggalkan akan berkurangan. Sebaliknya, penggunaan majas yang tepat dapat memberikan kesan yang lebih mendalam. Majas, sebagai gaya bahasa yang bersifat kiasan dan konotatif, membolehkan penyajak menyampaikan makna yang lebih kaya dan berlapis.

Sajak yang mampu meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca ialah sajak yang menggunakan gaya bahasa dengan sesuai, berkesan dan teliti seperti yang ditampilkan dalam sajak “Kenangan” karya Sapardi Djoko Damono ini yang dipetik daripada buku sajaknya, Melipat Jarak :

      Dia meletakkan kenangannya

      dengan sangat hati-hati

      di laci meja dan menguncinya

      sebelum berangkat ke sebuah kota

      yang sudah sangat lama hapus

      dari peta yang pernah digambarnya

      pada suatu musim layang-layang

      tak didengarnya lagi

      suara air mulai mendidih

      di laci yang rapat terkunci

      dia telah meletakkan hidupnya

      di antara tanda petik.

Meskipun sajak ini menggunakan kata-kata yang sederhana tetapi mampu menyentuh rasa dan fikir khalayak pembaca dengan cara penyusunan dan pemilihan kata yang menarik dan penuh makna. Penggunaan majas seperti perbandingan dan perlambangan membawa kedalaman makna yang tidak hanya dilihat dengan mata kasar tetapi dirasakan melalui imaginasi para pembaca.

Dalam rangkap akhir sajak ini, diksi “dia telah meletakkan hidupnya/di antara tanda petik” mengandungi sebuah falsafah mendalam tentang kehidupan yang penuh dengan kenangan dan tidak dapat dihapuskan. Tanda petik mencerminkan betapa hidup sering kali dipenuhi dengan hal-hal yang hanya hidup di alam kenangan dan kadangkala ia dirasakan seperti sesuatu yang tidak benar-benar nyata. Gaya bahasa yang digunakan dalam sajak ini sangat berkesan dalam menyampaikan perasaan dan makna yang lebih dalam.

Tulisan ini akan membicarakan tentang pilihan dan keberkesanan gaya bahasa tiga orang penyajak muda dalam sajak mereka yang telah disiarkan dalam ruangan ini pada minggu yang lalu.

Sajak pertama, “Katakanlah Tiada Rindu yang Dapat Memecah Sunyi Bulan” tulisan Angelo Taj membawa bahasa rindu yang sarat. Penyajak mengungkapkan:

katakanlah tiada rindu yang dapat memecah sunyi bulan

melainkan rindumu

katakalah rindu itu malam yang mengguyur

hujan di mataku

hanya rindumu yang dapat menyeru api di dadaku

hanya matamu yang layak menjadi perahuku

katakanlah kata-katamu

cermin bulan yang berselerak dalam gelita itu

katakanlah perahuku sedang menuju rumah rindumu

dan semesta-Nya sekalian saksi

puisiku merinduimu

dan wujud-Nya sekalian bulan

yang bercantum menjadi cahaya di dalam dadaku.

Gaya bahasa dalam sajak ini penuh dengan emosi, keindahan metafora dan lapisan makna. Ungkapan seperti “katakanlah tiada rindu yang dapat memecah sunyi bulan” serta “… rindu itu malam yang mengguyur/hujan di mataku” menunjukkan kepekaan penyajak terhadap keindahan bahasa dan kemampuan menyampaikan kerinduan yang mendalam dalam bentuk yang sangat visual dan simbolik. Bahasa penyajak sarat romantis dan puitis.

Walau bagaimanapun di celah bahasa puitis dengan lapisan emosinya yang pekat, terselit satu cabaran utama bagi para pembaca, iaitu kekaburan makna. Siapakah “mu” dalam sajak ini? Adakah dia seorang wanita bergelar kekasih? Atau hanya lambang kerinduan itu sendiri? Sudah tentu bukan Tuhan kerana ia tidak dituliskan dengan huruf M yang besar.

Apakah pula yang dimaksudkan dengan “wujud-Nya”? Huruf “N” yang dibesarkan, menunjukkan unsur ketuhanan. Digandingkan pula dengan“ sekalian bulan” yang merujuk kepada unsur alam. Mungkinkah ini bermaksud Tuhan wujud dalam semua ciptaan-Nya, yakni bulan sebagai simbol keseluruhan ciptaan atau keindahan yang disaksikan penyajak? Atau adakah ini hanya gambaran hiperbola bagi rasa rindu yang melimpah dan berlapis-lapis?

Bulan biasanya menjadi simbol keindahan, ketenangan atau harapan dalam kesunyian. Dalam sajak ini, bulan menjadi cermin, menjadi cahaya, bahkan menjadi saksi. Bulan turut digambarkan sebagai sunyi, sebagai sesuatu yang tidak dapat dipecahkan kecuali oleh rindu yang sangat mendalam. Ini membayangkan konflik batin yang abstrak tetapi sekali lagi, sukar ditangkap makna hakikinya dengan lebih jelas dan mendalam.

Bagi sesetengah pembaca, kekaburan ini menjadikan sajak sukar untuk difahami dan dihayati sepenuhnya. Tanpa hal tersebut, sudah tentu tidak berupaya meninggalkan kesan yang mendalam pada rasa dan fikiran para pembaca. Atau mungkin juga dalam dunia persajakan kontemporari, makna hakiki bukan lagi sesuatu yang diutamakan tetapi cukup jika dapat dihayati dan dirasai.

Walau bagaimanapun, secara keseluruhan, dapat dikesan bahawa penyajak memiliki daya imaginasi yang tinggi dan sedang berusaha untuk membina gaya bahasanya tersendiri. Dengan sarat bakat dan usaha yang berterusan, diyakini penyajak ini akan mampu untuk terus maju selepas mengutip aneka pelajaran dan pengalaman di sepanjang hidupnya serta alam penulisan sajak.

Sajak “Bukan Tentang Burung” tulisan Stephanie Juanita Ahlee mengungkapkan tentang keinginan untuk berubah dan keluar daripada zon selesa dan tidak lagi tunduk pada sesuatu jalur, keadaan atau suasana. Penyajak menulis:

Katakanlah burung tidak lagi

Menujah awan, menyapa mentari

Hinggap di pohon, mematahkan

Sayap-sayap kebanggaan

Serta, mula menjejak tanah

Bukan bererti ia lelah

Hanya menginginkan

Dunia lebih kecil

Sarat rintangan, penuh berliku

Terbatas serta tidak sempurna

Lalu perlahan-lahan

Berhenti memuja langit.

Sajak ini menarik dan dituliskan secara simbolik. Burung menjadi lambang kebebasan, cita-cita atau harapan. Ketika burung “tidak lagi menujah awan” memberikan gambaran peralihan atau perubahan perspektif hidup. Diksi “berhenti memuja langit” pula merupakan pernyataan kuat yang mengajak pembaca merenung tentang realiti hidup dan kompromi terhadap cita-cita dan harapan.

Gaya bahasa penyajak pendek, lembut dan tenang dan menimbulkan renungan mendalam tentang kehidupan. Pilihan kata seperti “mula menjejak tanah” dan “menginginkan dunia lebih kecil”, mencerminkan suasana penilaian diri.

Walau bagaimanapun, sajak ini kurang menampilkan elemen majas yang mencabar imaginasi. Simile atau metafora tambahan mungkin boleh memperkaya pengalaman pembaca. Perjalanan emosi dalam sajak agak mendatar. Sekiranya ada titik perubahan nada atau emosi yang lebih ketara, impaknya akan lebih mendasar.

Penyajak ini juga menampakkan kilauan bakat yang menjanjikan. Teruslah menghimpunkan pengalaman dan pelajaran daripada alam, kehidupan dan pembacaan. Pasti bertemu cahaya jaya di dalam terowong dunia penulisan yang diminati, suatu masa nanti.

Sajak “Ah Liew, Penjual Aiskrim” hasil karya Angel Samling membicarakan tentang kisah seorang penjual aiskrim. Penyajak merakamkan:

panas-panas begini,

Ah Liew dan tabung aiskrimnya

lewat depan rumahku

kring kring kring!

seperti loceng

pada kaki ketika bayi

kring kring kring

tiada anak-anak kecil

menghulur tangan

mungkin takut melangkah dari pintu

bergegas aku keluar

merapati motosikal roda tiga

Ah Liew sedang sibuk

makan aiskrim-aiskrimnya

aku berpeluh, Ah Liew membeku      

Sajak ini menggunakan gaya bahasa bercerita yang visual, menjadikannya mudah difahami dan dibayangkan. Frasa seperti “kring kring kring” dan “Ah Liew dan tabung aiskrimnya/lewat depan rumahku” menjelmakan suasana yang sangat hidup dan dekat dengan realiti harian.

Terdapat unsur kejutan dan ironi melalui diksi, “aku berpeluh, Ah Liew membeku”. ia mungkin kata-kata yang ringkas tetapi berkesan. Berupaya mencipta kontras menarik antara suasana dengan tindakan. Di sebalik suasana ceria, ada kesedihan atau kekosongan. Tiada anak-anak kecil keluar, hanya penyajak yang menyambut Ah Liew. Ini memberikan dimensi emosi yang mendalam melalui gaya sederhana.

Sajak ini mungkin menjadi lebih menarik dan puitis sekiranya dapat diselitkan dengan bahasa kiasan dan perbandingan. Gaya bahasanya terlalu prosaik dan langsung. Walau bagaimanapun, baris akhirnya yang ironi dan mengejutkan itu telah memberikan nilai tambah kepada sajak ini. Sebagai penulis baharu dan muda, penyajak ini mempunyai ruang dan peluang yang panjang untuk menghasilkan karya-karya lain. Tentunya karya yang lebih baik setelah dimatangkan oleh pengalaman, pelajaran dan pembacaan.           

Kesimpulannya, gaya bahasa dalam sajak sangat penting kerana ia adalah elemen yang membentuk identiti sesebuah sajak. Keberkesanan sajak sangat bergantung kepada keupayaan penyajak dalam memilih dan menggunakan gaya bahasa yang tepat dalam menyampaikan makna. Gaya bahasa yang bijak, penuh imaginasi tetapi terkawal mampu memberikan kesan yang mendalam kepada para pembaca. Ia juga memastikan sajak tersebut tetap relevan dan dapat dinikmati dalam jangka masa yang panjang.

Zainal Abidin Haji Suhaili (Abizai)

Continue Reading

Previous: Tesmak Alam
Next: Planet yang Direbut Manusia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.