
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong menggesa kerajaan Sarawak mengambil tindakan segera dan menyeluruh bagi mengurangkan kebergantungan negeri itu terhadap beras import, sambil memberi amaran bahawa kegagalan bertindak boleh mendedahkan Sarawak kepada krisis makanan yang serius.
Gesaan itu dibuat susulan amaran Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, mengenai potensi gangguan bekalan beras akibat sekatan eksport dari Vietnam dan India.
Menurut Yong, amaran tersebut menyerlahkan masalah struktur berlarutan, termasuk kadar sara diri beras Sarawak yang masih rendah sekitar 38 hingga 40 peratus walaupun pelbagai usaha pembangunan telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun.
“Selama ini, kita menyaksikan beberapa program penanaman padi gagal mencapai matlamat.
“Projek Mini Estet Padi di Sungai Tulai dan Sungai Tekap yang melibatkan kawasan seluas 662 hektar diakui gagal.
“Projek Jelapang Padi Batang Lupar yang diumumkan pada 2013 juga masih tidak aktif selepas lebih satu dekad,” katanya.
Tambahnya, kawasan penanaman padi tradisional di Samarahan dan Sri Aman terus berdepan masalah sistem pengairan yang lemah serta kekurangan mekanisasi.
Yong turut menyuarakan keraguan terhadap inisiatif baharu seperti program Gelombang Padi dan AgriHub@Gedong yang menurutnya belum menunjukkan hasil ketara.
“Perlu ada ketelusan dan akauntabiliti.
“Rakyat berhak mengetahui berapa keluasan sebenar yang ditanam, pencapaian program-program ini, dan sama ada ia mampan dalam jangka panjang.
“Tanpa data yang jelas, usaha ini hanya akan menjadi satu lagi projek bersifat kosmetik,” tegasnya.
Sehubungan itu, Yong menggesa kerajaan negeri menjalankan audit menyeluruh ke atas semua projek penanaman padi sejak 2010, menerbitkan data pengeluaran terkini, serta membentangkan pelan hala tuju untuk meningkatkan kadar sara diri beras Sarawak kepada sekurang-kurangnya 60 peratus dalam masa terdekat.
“Keselamatan makanan bukan isu remeh. Ia memerlukan kemahuan politik, perancangan jangka panjang, dan sokongan padu kepada petani terutamanya di luar bandar.
“Kita tidak boleh terus bertindak hanya apabila krisis berlaku, sebaliknya perlu bersiap sedia lebih awal dan berterusan,” katanya.
Oleh Connie Chieng