
KUCHING: Kebebasan badan kehakiman dan perundangan Syariah merupakan tunjang utama dalam memastikan keadilan ditegakkan tanpa rasa takut atau pilih kasih, sekali gus memelihara kedaulatan undang-undang serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman.
Peguam Besar Negeri Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, berkata prinsip tersebut amat penting sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap cabang eksekutif selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, di samping mengelakkan sebarang bentuk campur tangan yang boleh menjejaskan kebebasan institusi kehakiman.
Beliau berkata demikian pada Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak (OSLYS) 2026 yang dibacakan wakil beliau Peguam Kanan Negeri Sarawak, Jady @ Zaidi Hassim pada Persidangan Mahkamah Syariah Terbuka di Raia Hotel dan Pusat Konvensyen di sini, hari ini.
Menurut beliau, penganjuran OSLYS untuk tahun kedua dengan tema “Memperkasa Kebebasan Badan Kehakiman dan Perundangan Syariah” memberi nafas serta semangat baharu kepada seluruh pengamal undang-undang Syariah di Sarawak dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing.
“Islam sebagai agama yang syumul menuntut agar keadilan ditegakkan dalam semua aspek kehidupan, termasuk dalam bidang kehakiman dan perundangan. Sejarah kehakiman Islam sejak zaman Rasulullah SAW membuktikan bahawa prinsip kebebasan dan ijtihad merupakan asas penting dalam pembuatan keputusan yang adil,” katanya.
Mengulas peranan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak (JPBNS), beliau berkata komitmen jabatan itu dalam memperkasa perundangan Syariah di Sarawak terus diperkukuh melalui penstrukturan Bahagian Syariah yang kini merangkumi Seksyen Litigasi Syariah dan Seksyen Pengharmonian Undang-Undang sejak 2024.
Langkah tersebut, jelasnya, bertujuan melancarkan pengendalian kes serta memperkemas tadbir urus berkaitan Syariah agar perkhidmatan perundangan dapat disampaikan secara lebih efektif dan berkesan sejajar keperluan semasa.
“Setakat ini, sebanyak 155 kes aktif di peringkat Mahkamah Tinggi Syariah dan empat kes di Mahkamah Rayuan Syariah Sarawak dikendalikan oleh JPBNS, manakala 29 kes telah berjaya ditutup melibatkan perintah persetujuan, pengenepian dan penarikan semula kes,” katanya.
Beliau turut memaklumkan seramai 10 Peguam Negeri baharu akan melapor diri pada 2026 bagi memperkukuh keupayaan jabatan itu, sekali gus mempercepat penyampaian perkhidmatan khususnya kepada pengamal undang-undang Syariah di Sarawak.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan terhadap hubungan kerjasama erat antara JPBNS dan Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak yang disifatkan semakin kukuh melalui pelbagai program perkongsian ilmu dan wacana perundangan sepanjang tahun lalu.
“Kerjasama ini wajar diteruskan berlandaskan semangat muafakat kerana kejayaan sistem perundangan Syariah menuntut kebersamaan semua pihak,” katanya.
Beliau menegaskan JPBNS akan terus komited menegakkan keadilan secara profesional dan berintegriti demi kepentingan rakyat Sarawak, di samping mengucapkan selamat tahun baharu kepada seluruh warga perundangan Syariah dengan harapan 2026 membawa kesejahteraan serta kejayaan berterusan selaras aspirasi Sarawak Maju Makmur.
Oleh Shikin Mahmud