
KUCHING: Kebebasan kehakiman berteraskan integriti dan tanggungjawab merupakan asas penting bagi memastikan Mahkamah Syariah terus diyakini dan dihormati masyarakat, khususnya dalam menghadapi cabaran era digital serta pengaruh media sosial yang semakin meluas.
Ketua Hakim Syarie Sarawak, Datu Awang Suhaili Ledi, berkata kebebasan kehakiman dalam konteks perundangan Syariah perlu difahami sebagai kebebasan yang bertanggungjawab, terikat dengan hukum syarak, peruntukan undang-undang serta prinsip kehakiman yang mantap.
“Setiap hakim syarie memikul amanah besar bukan sahaja kepada negara dan masyarakat, malah kepada Allah SWT, untuk memastikan setiap keputusan dibuat secara adil, bebas daripada sebarang tekanan dan pengaruh luar,” katanya ketika berucap pada Persidangan Mahkamah Syariah Terbuka di Raia Hotel & Pusat Konvensyen Kuching, pagi ini.
Beliau menjelaskan persidangan berkenaan yang memasuki tahun kedua penganjurannya bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi manifestasi komitmen berterusan institusi kehakiman Syariah dalam menegakkan keadilan, memelihara kedaulatan undang-undang serta memperkukuh amanah yang digalas oleh seluruh warga kehakiman.
Menurutnya, persidangan itu turut menandakan permulaan rasmi Tahun Perundangan Syariah, sekali gus menjadi platform muhasabah terhadap pencapaian lalu serta ruang menetapkan hala tuju masa depan agar Mahkamah Syariah kekal sebagai institusi yang berintegriti dan diyakini masyarakat.
“Pembukaan Tahun Perundangan Syariah bukan sekadar simbolik, tetapi peringatan bahawa setiap tahun hadir dengan tanggungjawab dan cabaran baharu yang menuntut kesediaan seluruh warga kehakiman untuk melaksanakan amanah dengan dedikasi, kebijaksanaan dan penuh hikmah,” katanya.
Beliau menegaskan pencapaian Mahkamah Syariah tidak hanya diukur melalui statistik atau keputusan kes semata-mata, sebaliknya turut membentuk persepsi masyarakat terhadap keadilan Islam itu sendiri.
Sehubungan itu, katanya, setiap keputusan dan tindakan kehakiman hendaklah mencerminkan nilai keadilan, kesaksamaan serta ihsan sebagaimana dituntut oleh syariah.
Mengulas cabaran semasa, beliau berkata perkembangan pesat teknologi digital dan media sosial memberi implikasi besar terhadap proses kehakiman, khususnya apabila penilaian awam terhadap sesuatu kes dibuat berdasarkan persepsi dan naratif luar, bukannya fakta serta hujahan yang dikemukakan di mahkamah.
“Namun, media sosial tidak harus dilihat semata-mata sebagai ancaman. Jika dimanfaatkan secara beretika dan strategik, ia boleh menjadi medium berkesan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai fungsi Mahkamah Syariah, sistem perundangan serta seterusnya memperkukuh keyakinan awam,” jelasnya.
Beliau menekankan keperluan mengekalkan keseimbangan antara keterbukaan, akauntabiliti dan perlindungan terhadap integriti kehakiman, sambil menegaskan bahawa integriti merupakan teras utama kepada kewibawaan institusi kehakiman Syariah.
“Tanpa integriti, kebebasan kehakiman akan terhakis dan keadilan tidak dapat ditegakkan secara hakiki,” katanya.
Persidangan Mahkamah Syariah Terbuka itu menghimpunkan kepimpinan kehakiman Syariah dari seluruh negara serta pengamal undang-undang Syariah sebagai wadah perkongsian pandangan dan pengukuhan peranan Mahkamah Syariah dalam sistem keadilan negara.
Oleh Shikin Mahmud