
KEBEBASAN badan kehakiman merupakan tonggak utama kepada sistem demokrasi yang berfungsi Prinsip ini bermaksud bahawa badan kehakiman mesti bebas daripada sebarang pengaruh luaran, khususnya campur tangan politik, agar dapat membuat keputusan berasaskan undang-undang, bukan kepentingan pihak berkuasa.
Sejak era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad selama dua kali, sering isu ini dibangkitkan atas dakwaan campur tangan politik.
Perkara ini seolah-olah menyerlahkan, realiti sistem kehakiman di negara ini menunjukkan bahawa kebebasan ini sering kali dicabar oleh kuasa eksekutif, khususnya dalam pelantikan hakim-hakim tertinggi.
Kritikan terhadap peranan Perdana Menteri terdahulu dalam proses pelantikan, serta pelbagai insiden sejarah negara menunjukkan terdapat unsur-unsur campur tangan politik telah melemahkan prinsip pemisahan kuasa dan integriti sistem kehakiman yang pernah didedahkan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Mohamed Apandi misalnya menyifatkan gesaan segelintir Ahli Parlimen, Majlis Peguam dan aktivis masyarakat sivil untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelantikan badan kehakiman sebagai lucu dan sarat dengan hipokrasi politik.
Mereka menuduh kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabuli proses pelantikan hakim sedangkan dalam kebocoran minit mesyuarat JAC didapati tiada campur tangan dan tiada pelanggaran sebenar yang berlaku.
Tambah beliau lagi, mereka marah atas sesuatu yang belum pun berlaku akan tetapi ketika pelanggaran yang jelas terhadap Akta JAC dan Perlembagaan berlaku pada 2018 dan 2019, tidak ada pula yang bersuara.
Di sisi yang lain tokoh seperti Datuk Seri Gopal Sri Ram, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus dan Datuk Mah Weng Kwai pernah menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak terikat menerima cadangan JAC kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara.

JAC dan Perlembagaan
Mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) melantik hakim atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Walaupun akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 (Akta 695) ditubuhkan untuk memastikan ketelusan dan integriti pelantikan kehakiman, peranan Perdana Menteri tetap dominan.
Akta ini memperuntukkan bahawa JAC mengesyorkan tiga calon untuk setiap kekosongan, tetapi Perdana Menteri masih boleh meminta dua nama tambahan — membuka ruang yang luas untuk budi bicara politik.
Pelantikan tanpa syor JAC: Fakta kes pelantikan2018
Menurut bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi, campur tangan politik era pemerintahan Dr Mahathir ialah pelantikan empat jawatan tertinggi kehakiman pada Julai 2018 sebagaimana dakwa yang melibatkan Tan Sri Richard Malanjum (Ketua Hakim Negara), Tan Sri Ahmad Maarop (Presiden Mahkamah Rayuan), Tan Sri Zaharah Ibrahim (Hakim Besar Malaya) dan Datuk David Wong Dak Wah (Hakim Besar Sabah dan Sarawak).
Menurut Laporan, Pasukan Petugas Khas (STF), pelantikan ini tidak berpandukan syor JAC yang dibuat dalam mesyuarat pada 24 Mei 2018.
Sebaliknya, pemilihan dibuat hasil rundingan tertutup antara Dr Mahathir dan Tan Sri Tommy Thomas, tanpa melalui proses mesyuarat rasmi SPK seperti diwajibkan oleh undang-undang.
Kenyataan ini menunjukkan peminggiran institusi, dan menandakan bagaimana badan bebas seperti JAC boleh menjadi simbolik semata-mata apabila kuasa eksekutif menggunakan prerogatif secara mutlak.
Tengku Maimun: Pelantikan dan isu prosedur
Pelantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara pada 2019 memperkukuh hujah mengenai campur tangan politik apabila Tengku Maimun hanya enam bulan menjawat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, melangkaui ramai hakim yang lebih kanan.
Maimun dilantik berdasarkan cadangan terus oleh Tommy Thomas kepada Dr Mahathir, dan dikatakan tiada bukti bahawa JAC mengadakan mesyuarat rasmi untuk mencalonkan beliau.
Pelantikan tersebut disambut secara politik, termasuk pemberian gelaran Tan Sri selepas dilantik — dilihat sebagai isyarat kuasa kepada hakim-hakim terdahulu yang dipaksa berundur.
Fakta ini menggambarkan bahawa politik mempengaruhi struktur institusi kehakiman, menjadikan pelantikan lebih kepada kesetiaan dan persepsi politik, bukan integriti melalui sistem sedia ada.
Kritikan selepas pelantikan, isu konsistensi dan legitimasi
Ironiknya, Tun Tengku Maimun sendiri, dalam ucapannya pada 2025, mengkritik sebarang campur tangan dalam pelantikan hakim, dengan menyatakan hanya SPK dan Perdana Menteri yang berhak mencadangkan calon — bukan Peguam Negara, Majlis Peguam atau mana-mana individu.
Kritikan ini, seperti disindir oleh Tun Abdul Hamid, adalah ‘meludah ke langit menimpa batang hidung sendiri’, kerana pelantikan beliau sendiri dikatakan melanggar prosedur JAC.
Ini menimbulkan persoalan legitimasi moral – bagaimana seorang pemimpin kehakiman boleh mengkritik sistem yang telah dimanfaatkan olehnya sendiri.
Sejarah pengaruh politik dari Tun Salleh Abas ke V.K. Lingam
Campur tangan politik dalam pelantikan kehakiman bukanlah baharu. Pada 1988, Tun Salleh Abas disingkirkan dan digantikan oleh Tun Abdul Hamid Omar.
Pelantikan ini dikritik kerana dikatakan sebagai ‘conflict of interest’ dan dianggap pencabulan kebebasan kehakiman yang pertama dan paling serius.
Dalam kes V.K. Lingam (2007), Suruhanjaya Siasatan mendapati pelantikan hakim dirundingkan melalui saluran tidak rasmi, termasuk penglibatan langsung peguam dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir.
Pelantikan pasca-PRU14 pula, proses ini dilihat menyokong agenda reformasi kerajaan baharu, namun mengabaikan prinsip prosedur dan kekananan, menyebabkan persepsi pelantikan politik yang berpihak.
Implikasi campur tangan politik
Campur tangan politik dalam kehakiman boleh membawa beberapa kesan besar seperti kepudaran kehilangan kepercayaan awam terhadap institusi kehakiman, pelantikan berdasarkan kesetiaan politik, bukan merit atau integriti, ancaman kepada prinsip pemisahan kuasa, yang menjadi asas demokrasi moden, penyelewengan kuasa oleh eksekutif, yang menjadikan institusi undang-undang sebagai alat politik.
Apabila hakim dilantik berdasarkan ‘kepercayaan’ politik, maka penghakiman bebas juga berisiko menjadi penghakiman berpihak — bukan kepada undang-undang.
Bergerak ke depan
Kini Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) telah menyenaraikan 31 kekosongan jawatan termasuk jawatan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan.
Selain dua kekosongan Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan mempunyai tiga kekosongan dan Mahkamah Tinggi sebanyak 24 kekosongan.
Sudah pasti ini memerlukan calon berwibawa, berintegriti tinggi, dihormati, cekap dan berpengalaman luas diperlukan. Sebab itu, nama-nama seperti Dato Rhodzariah Bujang, Abu Bakar Jais adalah nama-nama disebut dalam senarai pencalonan jawatan tertinggi tersebut.
Kedaulatan undang-undang perlu dihormati agar tidak mencetuskan krisis dan menjejaskan reputasi institusi. Misalnya, unsur perbicaraan politik dilakukan tanpa keadilan boleh melemahkan kepercayaan institusi.
Pernah terdapat kes pihak pendakwaraya mencadangkan tiada pertuduhan terhadap Presidan UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana ketiadaan bukti kukuh meskipun di peringkat prima facie, namun diteruskan kerana unsur-unsur politik.
Kesimpulan
Kebebasan kehakiman bukan sekadar prinsip akademik, tetapi asas penting kepada keadilan, ketelusan dan kestabilan negara. Pelantikan hakim yang bebas daripada pengaruh politik menjamin bahawa setiap rakyat mendapat pengadilan yang tidak berat sebelah.
Namun, sebagaimana yang dibuktikan dalam fakta dan kes di Malaysia — dari 1988 hingga 2019 — campur tangan politik dalam pelantikan kehakiman masih berleluasa, sering kali berselindung di sebalik budi bicara Perdana Menteri.
Maka perlu ada usaha ketelusan proses pelantikan, memperkuat dan menegakkan pelaksanaan sebenar peranan JAC, serta menjamin integriti ahli-ahli SPK dan hakim-hakim sendiri bagi kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.
Kemelut pelantikan ini dijangka selesai selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang di bawah Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong akan melantik Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Begitu juga pelantikan Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya serta Hakim Sabah dan Sarawak melalui proses sama.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)