LAWAS: Kerajaan Sarawak terus memastikan kebebasan mengamalkan agama masing-masing terus subur diamal untuk kebaikan rakyat yang terdiri daripada berbagai kaum dan latar belakang.
Justeru, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) ditubuhkan pada 26 Mei 2017 di bawah portfolio Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Penubuhan UNIFOR sebagai sebuah agensi Kerajaan Negeri merupakan cetusan idea bekas ketua menteri Sarawak, allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang bertanggungjawab untuk mengawal selia dasar bagi mempromosikan keharmonian antara agama selain menilai, mencadangkan dan merumuskan dasar, undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan hal ehwal agama bukan Islam di Sarawak.
Setiausaha Sulit Timbalan Menteri bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Malaysia, Steve Lius menyatakan demikian sewaktu mewakili Timbalan Menteri KPLB Malaysia, Dato Henry Sum Agong merasmikan Sesi Taklimat Permohonan Bantuan Dana Rumah Ibadah Agama-agama Lain di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
UNIFOR juga adalah bukti jelas tentang menjaga kepentingan semua rakyat daripada semua agama.
Malah, UNIFOR satu-satunya landasan bagi permohonan dana dan tanah untuk pembinaan gereja atau kuil baharu atau baik pulih serta berbagai urusan berhubung kait pengurusan rumah ibadah.
Steve Lius turut memberitahu masih banyak bantuan dalam berbagai bentuk dan inisiatif untuk membantu serta meningkatkan taraf hidup rakyat Sarawak.
“Kita tidak mudah terpedaya dengan berbagai tohmahan dan kempen memburukkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelang musim pilihan raya negeri mahupun pilihan raya umum akan datang.
“Sebaliknya, Sarawak tidak bankrap kerana banyak projek pembangunan sedang dan akan dilaksana,” tambahnya.
Steve turut menasihatkan pemimpin rumah ibadah di bawah UNIFOR supaya tidak mempolitikkan rumah ibadah dan memastikan rumah ibadah menjadi penenang rohani dan penyatu ummah.
Selain itu, beliau turut menggesa golongan muda untuk lebih banyak melibatkan diri dalam aktiviti gereja dan rumah ibadah masing-masing dalam memastikan mereka berupaya membenteng diri daripada pengaruh negatif.
Sesi taklimat dipecah kepada tiga sesi iaitu sebelah pagi, petang dan pagi Selasa untuk memastikan sesi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan setiap sesi dihadkan 40 peserta dan jarak fizikal yang sejajar SOP yang dibenarkan.
Oleh Adeng Edrus