


KURATOR Galeri Diraja Tuanku Jaafar, Mohd Khairil Hisham Mohd Ashaari menunjukkan baju Kebaya Setengah Tiang semasa ditemubual bersama Bernama di Galeri Diraja Tuanku Jaafar, baru-baru ini. Foto BERNAMA
BUSANA tradisional Negeri Sembilan, Baju Kebaya Setengah Tiang yang berusia lebih seabad, mencuri tumpuan antarabangsa apabila dipamerkan dalam Russia-Islamic World Kazan Forum 2025 di Kazan, Rusia, baru-baru ini.
Kemunculan busana ini pada forum yang berlangsung pada 13 hingga 18 Mei itu bukan sahaja memperkenalkan keunikan tekstil dan rekaan tempatan, malah mengangkat warisan budaya negeri yang terkenal dengan adat perpatih itu ke peringkat global.
Kurator Galeri Diraja Tuanku Jaafar Mohd Khairil Hisham Mohd Ashaari berkata busana berusia 120 itu diperbuat daripada serat nanas, iaitu bahan tradisional yang kini sukar ditemukan, menjadikannya lambang kehalusan seni dan warisan Melayu.
“Busana dipamerkan paling istimewa kerana ia berusia 120 tahun milik seorang kerabat diraja Negeri Sembilan, baju ini bukan diperbuat daripada kain biasa, tetapi dihasilkan menggunakan serat nanas, dan jarang ditemukan pada masa sekarang.
“Rata-rata peserta kagum melihat reka bentuk baju kebaya ini, dilihat sebagai pakaian yang selesa, sopan serta mempunyai ciri seorang muslimah. Pakaian serta aksesori yang dibawa turut diperagakan oleh model di Rusia sebagai tanda sokongan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohd Khairil Hisham berkata selain baju kebaya itu, pihaknya juga mempamerkan aksesori dan songket bertemakan Bunga Lado, iaitu antara identiti negeri ini.
Beliau berkata seni warisan dipamerkan itu berpotensi untuk dikomersialkan ke peringkat global memandangkan sambutan serta penerimaan peserta pada forum berkenaan sangat menggalakkan.
“Penyertaan dalam forum itu bertujuan mempromosi identiti budaya Negeri Sembilan dan mengetengahkan kelangsungan warisan tempatan di peringkat global.
“Forum itu menghimpunkan lebih 20,000 peserta dari 87 negara, 87 entiti dari Persekutuan Rusia dan lebih 40 misi diplomatik,” katanya.
Beliau berkata penyertaannya pada forum itu antara usaha mempromosikan negeri ini kepada negara luar bersempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS2026).
Bagi merancakkan lagi sambutan TMNS2026, Mohd Khairil dengan kerjasama Pengasas Miami Modest Fashion Week Norsham Mohammad merancang untuk mengadakan South-East Asia Muslim Fashion Festival, iaitu membawa pereka fesyen dari luar negara datang ke negeri ini bagi menjayakan festival fesyen muslimah, dijangka Oktober 2026 di Port Dickson.
“Kami berharap perlaksanaan festival itu nanti dapat mewujudkan satu platform yang dapat menggabungkan fesyen muslimah yang lebih berinovatif, serta memartabatkan identiti dan budaya warisan secara bersama.
“Jika kita mahu berjaya dan dikenali dari segenap sudut, kita perlu keluar tidak boleh duduk dalam kepompong yang sama, kena cari pembaharuan demi masa depan yang lebih baik,” katanya.
Mohd Khairil menyifatkan seni warisan bukan sekadar untuk tontonan tempatan, sebaliknya perlu diperkenalkan ke persada antarabangsa supaya dapat dihargai dan dihayati oleh masyarakat global.– Bernama