Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Kebangkitan Chelsea reda tekanan ke atas Maresca
  • SUKAN

Kebangkitan Chelsea reda tekanan ke atas Maresca

Utusan Sarawak 6 hours ago
Joao Pedro (kanan) meraikan jaringan penyamaan Chelsea ke atas Newcastle. Foto AFP

NEWCASTLE, United Kingdom: Chelsea menyelamatkan pengurus mereka, Enzo Maresca daripada terus dihujani soalan memalukan selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencuri keputusan seri 2-2 menentang Newcastle United awal pagi tadi.

Skuad kendalian Maresca hampir menelan kekalahan memalukan selepas penyerang Newcastle, Nick Woltemade, meledak dua gol pada separuh masa pertama di Stadium St James’ Park.

Namun, Chelsea bangkit selepas rehat menerusi sepakan percuma cantik Reece James serta gerakan solo memukau oleh Joao Pedro.

Keputusan itu menyaksikan Chelsea kekal di tangga keempat Liga Perdana Inggeris, biarpun hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan liga terakhir.

Bagaimanapun, kebangkitan penuh semangat The Blues itu cukup penting buat Maresca selepas melalui minggu bergelora yang mencetuskan persoalan mengenai masa depan jangka panjang jurulatih dari Itali itu di Stamford Bridge.

Maresca pada Jumaat menegaskan laporan bahawa beliau bakal menggantikan Pep Guardiola sebagai pengurus Manchester City adalah “100 peratus spekulasi”.

Difahamkan City meletakkan Maresca dalam senarai calon sekiranya Guardiola memilih untuk berundur pada penghujung musim ini.

Kaitan dengan City itu timbul selepas Maresca dilihat mengkritik kurangnya sokongan daripada pihak pengurusan tertinggi Chelsea.

Maresca, yang terikat kontrak hingga 2029, berkata selepas kemenangan minggu lalu ke atas Everton bahawa 48 jam sebelumnya adalah tempoh paling buruk buatnya di kelab itu kerana beliau dan pemain tidak menerima sokongan yang diharapkan ketika prestasi pasukan merosot.

Chelsea musim ini turut dikritik berhubung dasar penggiliran pemain yang dilihat menyebabkan pasukan kerap kelihatan tidak seimbang dan kurang tersusun.

Tarian kegembiraan

Selepas melakukan 11 pertukaran pemain ketika menewaskan Cardiff dalam suku akhir Piala Liga Selasa lalu, Maresca kembali mempertaruhkan barisan utama, namun permulaan mereka di Tyneside yang berkabus amat mengecewakan.

Woltemade jelas berazam menebus kesilapannya selepas gol sendiri menyebabkan Newcastle tewas 0-1 kepada musuh ketat Sunderland AFC minggu lalu.

Penyerang Jerman itu hanya memerlukan empat minit untuk memberi impak.

Hantaran Jacob Murphy menemui Anthony Gordon di tiang jauh dan apabila percubaannya ditepis penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez, bola muntah mudah disudahkan Woltemade dari jarak lima ela.

Pertahanan longgar Chelsea sekali lagi dihukum pada minit ke-20 apabila Gordon diberi terlalu banyak ruang sebelum melambungkan hantaran tepat yang sekali lagi disambar Woltemade dari jarak dekat, dengan VAR mengesahkan beliau berada dalam kedudukan onside.

Newcastle hampir menambah derita Chelsea sebelum rehat, namun Woltemade entah bagaimana melepaskan rembatan voli yang tersasar walaupun peluang terbuka luas.

Ucapan Maresca di bilik persalinan membuahkan hasil apabila James merapatkan jurang pada minit ke-49 menerusi sepakan percuma menarik yang menewaskan penjaga gol Newcastle, Aaron Ramsdale.

Newcastle kemudian dinafikan sepakan penalti secara kontroversi selepas Trevoh Chalobah merempuh Gordon.

Pasukan kendalian Eddie Howe ketika ini bergelut dengan krisis kecederaan pertahanan melibatkan Kieran Trippier, Dan Burn, Sven Botman dan Tino Livramento.

Chelsea mula mengambil kesempatan apabila rembatan Pedro Neto memaksa Ramsdale melakukan aksi menyelamat cemerlang.

Tekanan berterusan itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-66 apabila Joao Pedro bijak menanduk sepakan jauh Sanchez melepasi Malick Thiaw sebelum meluru ke dalam kotak penalti dan menyudahkan peluang dengan tenang.

Kelegaan Maresca jelas terpancar apabila beliau menari kecil penuh kegembiraan di tepi padang. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Liverpool ranapkan Spurs, namun Isak cedera
Next: Gyokeres bawa Arsenal kembali ungguli carta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.